JEDDAH – Juara Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan keyakinan tinggi menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite 2025/26 menentang juara bertahan dari Arab Saudi.
Ketua jurulatihnya, Xisco Muñoz menegaskan Harimau Selatan tidak gentar berdepan gergasi Asia itu, sebaliknya bersedia memberikan tentangan habis-habisan.
“Ini perlawanan penting buat kami. Kami menentang juara dan tahu tahap mereka sangat tinggi.
“Tetapi bagi kami, suku akhir ini ibarat final. Dari minit pertama hingga terakhir, kami perlu bermain dengan mentaliti yang betul,” katanya.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, skuad JDT kini semakin berkembang dan menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
“Kami semakin baik setiap hari. Kami tahu mereka memiliki pemain berkualiti, tetapi kami juga ada kekuatan sendiri yang perlu ditonjolkan,” jelasnya.
Xisco turut memberi amaran bahawa pasukannya tidak akan turun dengan rasa gentar meskipun berdepan kelab yang memiliki kekuatan kewangan serta pemain bertaraf dunia.
“Kami tidak takut. Kami sudah kaji kekuatan mereka termasuk kepantasan di bahagian sayap dan penyerang seperti Ivan Toney,” katanya.
Beliau menegaskan kunci utama untuk mencipta kejutan adalah disiplin, pengorbanan dan semangat juang tinggi.
“Dalam bola sepak, pasukan kecil boleh menewaskan pasukan besar. Apa yang penting adalah mentaliti,” ujarnya.
Sementara itu, kapten pasukan, Natxo Insa menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir sebagai satu pencapaian membanggakan buat kelab tersebut.
“Kami bukan datang untuk bercuti. Kami akan beri segala-galanya di atas padang dan percaya pada kemampuan sendiri,” katanya.
Menurutnya, kekuatan utama JDT adalah perpaduan dalam pasukan serta hala tuju jelas yang ditetapkan pengurusan kelab.
“Kami seperti sebuah keluarga, bukan sekadar organisasi. Itu yang beri kekuatan untuk capai kejayaan besar,” jelasnya.
JDT kini memikul misi besar bukan sahaja untuk kelab, malah untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.
Dengan semangat ‘tanpa takut’, Harimau Selatan kini bersedia mencipta satu lagi detik bersejarah. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST