JEDDAH – Pengendali juara bertahan, Al Ahli Saudi FC, Matthias Jaissle mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan lawan mudah menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite 2025/26.
Menurutnya, Harimau Selatan memiliki organisasi permainan yang sangat tersusun, disiplin tinggi serta semangat berpasukan yang menjadikan mereka sukar ditembusi.
“Mereka pasukan yang sangat kompak, berdisiplin dan berjuang untuk setiap bola. Mereka juga kuat dalam perebutan bola,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Jaissle berkata, skuadnya kini memberi tumpuan penuh terhadap aspek pemulihan selepas mengharungi perlawanan sengit 120 minit pada pusingan sebelum ini.
“Kami teruja untuk kembali beraksi di Jeddah. Dalam kejohanan seperti ini, pemulihan pemain amat penting.
“Beberapa hari lalu kami fokus kepada pemulihan fizikal dan mental, dan kini kami beralih kepada persiapan taktikal untuk menewaskan lawan,” jelasnya.
Beliau turut menjangkakan JDT tidak akan menekan tinggi, sebaliknya memilih pendekatan bertahan dengan lebih tersusun di kawasan sendiri.
“Mereka mungkin tidak ‘press’ tinggi, tetapi kekal berorganisasi di kawasan sendiri. Itu menjadikan mereka sukar untuk ditembusi,” katanya.
Dalam masa sama, Jaissle mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan ancaman serangan balas pantas JDT.
“Kami perlu kekalkan struktur permainan untuk mengelak momen transisi berbahaya daripada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pertahanan Roger Ibañez menegaskan misi mempertahankan kejuaraan masih menjadi keutamaan, namun fokus utama kini adalah aksi suku akhir.
“Tahun lalu kami juara, tetapi itu sudah berlalu. Sekarang kami hanya fokus perlawanan ini.
“Jika mahu jadi juara semula, kami perlu menang perlawanan ini dan dua lagi selepasnya,” katanya.
Pertembungan antara Al Ahli dan JDT dijangka menjadi aksi sengit, dengan kedua-dua pasukan membawa misi besar untuk melangkah ke separuh akhir.
Segalanya bakal ditentukan menerusi perincian taktikal dan detik magis di atas padang. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC