KUALA LUMPUR – Pengendali Kuala Lumpur City, Risto Vidakovic mengakui terkejut apabila diletakkan dalam status ‘cuti pentadbiran’ oleh pihak pengurusan kelab, ketika musim Liga Super 2025/26 berbaki tiga perlawanan sahaja.
Jurulatih dari Serbia itu berkata, keputusan tersebut dimaklumkan kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp pada 10 April lalu, sekali gus menghentikan tugasnya serta-merta.
Menurutnya, situasi itu menimbulkan tanda tanya memandangkan prestasi pasukan berada dalam keadaan baik musim ini.
“Saya masih menunggu penjelasan daripada kelab kerana kami hanya mahu tahu sebab keputusan ini dibuat.
“Apa alasan saya diletakkan dalam cuti pentadbiran hingga akhir musim sedangkan hanya tinggal tiga perlawanan? Sekarang saya tidak boleh bekerja, tidak boleh hadir latihan dan tidak boleh ke stadium. Saya hanya menunggu,” katanya.
Difahamkan, dokumen rasmi berkaitan penggantungan itu turut diserahkan kepada pasukan peguamnya.
Terdahulu, masa depan Vidakovic menjadi spekulasi selepas beliau memberi bayangan aksi menentang Kelantan TRW FC di Kota Bharu mungkin penampilan terakhirnya bersama skuad The City Boys.
Keputusan pengurusan KL City itu mengundang persoalan apabila dibuat ketika pasukan mencatat prestasi terbaik dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus mencetuskan andaian wujudnya konflik dalaman antara beliau dan pihak pengurusan kelab. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KL City FC