KUCHING – Kuching City FC menyalakan semula harapan ke pentas Asia apabila bangkit menundukkan Terengganu FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, malam tadi.
Beraksi dalam pertembungan berintensiti tinggi yang memberi implikasi besar di kelompok teratas liga, skuad tuan rumah mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum melengkapkan kemenangan dramatik.
Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik dengan Kuching mempertaruhkan penjaga gol Haziq Nadzli, manakala pelawat bergantung kepada ketajaman penyerang Careca.
Terengganu terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-12 menerusi tandukan padu Shervoni Mabatshoev yang menewaskan Haziq sekali gus membisukan penyokong di Stadium Negeri.
Bersambung babak kedua, Kuching City tampil dengan aksi lebih agresif dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-64 apabila Ngah Wanja tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengikat kedudukan.
Gol penyamaan itu menyuntik semangat baharu buat skuad tuan rumah yang terus mengasak kubu pelawat dalam usaha memburu jaringan kemenangan.
Akhirnya, kebangkitan itu disempurnakan pada penghujung permainan apabila Jerome Etame muncul wira dengan jaringan pada minit ke-81 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Kuching City.
Kemenangan 2-1 itu bukan sahaja meleburkan impian Terengganu pada malam tersebut, malah melonjakkan Kuching City ke tangga kedua liga sekali gus menghidupkan peluang beraksi di pentas Asia musim depan.
Di bawah kendalian ketua jurulatih Aidil Sharin, Kuching City dilihat semakin ampuh pada saat genting musim ini dengan kombinasi disiplin taktikal dan semangat juang tinggi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TFC