KOTA BHARU – Perlis GSA FC tampil memberi penjelasan rasmi berhubung kekurangan pemain ketika aksi Liga A1 Semi-Pro 2025/26 menentang Kelantan WTS FC di Stadium Sultan Muhammad IV, baru-baru ini.
Menurut kenyataan kelab, Perlis GSA hanya memulakan perlawanan dengan lapan pemain tanpa sebarang pemain simpanan, jauh daripada jumlah minimum 11 pemain bagi aksi kompetitif.
Situasi bertambah rumit apabila seorang pemain mengalami kecederaan seawal minit ketujuh sehingga memaksa perlawanan dihentikan sementara.
Selepas penilaian perubatan dan semakan pegawai perlawanan, pengadil membuat keputusan menamatkan aksi pada minit ke-16 susulan jumlah pemain yang tidak mencukupi di atas padang.
Berdasarkan peraturan pertandingan, Kelantan WTS diberikan kemenangan 3-0.
Dalam masa sama, Perlis GSA menjelaskan kekurangan pemain berpunca daripada beberapa faktor utama termasuk kecederaan serius melibatkan pemain utama, penggantungan perlawanan serta komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.
“Semua faktor ini di luar kawalan kami sehingga menjejaskan kemampuan untuk menurunkan skuad penuh,” jelas kenyataan itu.
Walaupun berdepan situasi luar jangka, kelab berkenaan menegaskan mereka menghormati keputusan pengadil serta pihak penganjur Liga A1 Semi-Pro.
Pada masa sama, Perlis GSA bertekad memperkukuh pasukan bagi menghadapi baki saingan musim ini.
Kelab itu turut memohon maaf kepada penyokong dan semua pihak berkepentingan atas insiden tersebut serta merakamkan penghargaan kepada pemain dan pengurusan yang terus menunjukkan komitmen tinggi.
“Sokongan dan dedikasi semua adalah tunjang kekuatan kelab ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Perlis GSA FC