KOTA BHARU – Bahagian Komuniti, Pelancongan dan Kesihatan Kumpulan Pembangunan Koperasi Angkasa Malaysia telah menganjurkan Bengkel Perkhidmatan Lodging dan Homestay yang menghimpunkan pengurusan koperasi komuniti dari seluruh negara di Holiday Villa Hotel, di sini, baru-baru ini.
Program tersebut disertai seramai 40 peserta mewakili pelbagai koperasi yang mengusahakan perniagaan homestay, rumah tumpangan dan penginapan room stay, sekali gus menjadi platform perkongsian ilmu serta pengukuhan jaringan industri pelancongan komuniti.
Koperasi HTK (KHTK) turut diberi kepercayaan sebagai panel penceramah bagi berkongsi kejayaan mereka dalam memperkasa ekonomi komuniti, termasuk usaha meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setempat, membantu golongan asnaf dan B40 dalam perniagaan, serta melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Selain itu, KHTK turut mengetengahkan kejayaan membina jaringan strategik bersama pelbagai agensi, di samping membangunkan program eko-pelancongan dan Edu-Tourism bertaraf antarabangsa yang berjaya menjana pendapatan pengusaha homestay berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.
Penganjuran bengkel ini diharap mampu menjadi pemangkin motivasi kepada semua pengurusan koperasi komuniti untuk terus berdaya saing dan memperkukuh perniagaan homestay sebagai salah satu sektor penting dalam pembangunan ekonomi setempat. – DETIK MALAYSIA