KUALA LUMPUR – Gelombang suara penyokong bola sepak tempatan terus memuncak apabila kumpulan Ultras Malaya tampil memperjelas bahawa gerakan #KembalikanBolaSepakKepadaRakyat bukan bermotifkan perebutan kuasa, sebaliknya menuntut akauntabiliti dalam ekosistem bola sepak negara.
Dalam satu kenyataan tegas, kumpulan itu menolak tanggapan bahawa mereka cuba mengambil alih kepimpinan.
“Ini bukan rampasan kuasa. Kami bukan mahu menggantikan individu atau merebut jawatan. Kami bukan datang untuk kerusi anda kami datang untuk akauntabiliti,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut mereka, asas perjuangan itu jelas bola sepak Malaysia bukan milik mana-mana pihak tertentu. Sama ada badan induk seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau pengendali liga seperti Malaysian Football League (MFL), semuanya hanyalah pemegang amanah kepada sukan milik rakyat.
“Bola sepak adalah ruang bersama. Sama ada anda ahli politik, pegawai, pemilik kelab, pemain atau penyokong semua berada dalam ekosistem sama. Bezanya hanyalah tahap kuasa,” jelas kenyataan itu.
Antara isu berulang yang dibangkitkan termasuk tunggakan gaji pemain, ketidakstabilan kewangan kelab, jadual liga tidak konsisten, kontroversi pelesenan serta kurangnya ketelusan dalam membuat keputusan.
“Ini bukan kes terpencil. Ia kegagalan berulang yang dibiarkan berlarutan,” tegas mereka lagi.
Kekecewaan penyokong, menurut kenyataan itu, bukan sekadar berpunca daripada isu-isu tersebut, tetapi juga kegagalan pihak berkaitan memberi penjelasan yang jelas.
“Penyokong diminta terus menyokong tetapi jarang diberi jawapan,” tambahnya.
Ketegangan memuncak susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain yang turut mendapat perhatian antarabangsa.
“Ini bukan lagi kesilapan pentadbiran kecil. Apabila ia menjejaskan reputasi negara dan dipersoalkan di peringkat global, ia menjadi krisis akauntabiliti.”
Sebagai langkah ke hadapan, gerakan itu menggariskan beberapa cadangan termasuk menyemak status kewarganegaraan pemain terlibat jika diperoleh secara tidak sah, mengembalikan pengurusan pasukan kebangsaan kepada FAM bagi memastikan struktur lebih jelas, serta melaksanakan reformasi menyeluruh merangkumi tadbir urus, pengurusan liga, operasi kelab, pembangunan akar umbi, pengadilan dan penglibatan penyokong.
“Ini bukan tuntutan radikal. Ini asas,” ujar mereka.
Nada kenyataan kekal tenang namun tegas menuntut ketelusan, integriti dan profesionalisme dalam mengemudi masa depan bola sepak negara.
“Institusi bola sepak mesti terbuka kepada penelitian. Kuasa mesti datang dengan tanggungjawab. Penyokong perlu dihormati bukan sekadar pembeli tiket,” katanya. – DETIK MALAYSIA