KLANG – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Bahagian Pembangunan Industri (BPI) mengadakan Program Pemantapan dan Pengukuhan Panel Penilai ASEAN Tourism Standard (ATS) di Hotel Wyndham Acmar di sini, dari 6 hingga 8 Mei lalu.
Program tersebut diadakan sebagai antara usaha merealisasikan hala tuju ASEAN Tourism Strategic Plan 2026-2030 bagi melahirkan produk pelancongan yang memenuhi kriteria ASEAN Tourism Standard (ATS).
Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Chua Cham Hwa.
Antara pengisian program ialah sesi perkongsian oleh Prof. Amran Hamzah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bagi kategori inap desa, manakala kategori Community Based Tourism (CBT) disampaikan Datuk Jeffry Ayah dari CBT Misompuru Kudat.

Buat pertama kali, panel penilai ATS membabitkan 19 pengarah negeri serta pegawai MOTAC selain 11 wakil industri Malaysia daripada Tourism Productivity Nexus (TPN) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Penilaian dijadualkan melibatkan sembilan inap desa dan tujuh produk CBT di seluruh negara bermula Jun hingga Ogos 2026.
Panel penilai dari Terengganu pula diwakili Pengarah MOTAC negeri bersama Pengerusi Koperasi HTK selaku wakil industri Malaysia.
Pemenang ASEAN Tourism Standard dijangka diumumkan di Singapura pada Disember 2027 sempena ASEAN Tourism Forum 2027. – DETIK MALAYSIA