RIYADH – Juara empat kali, Jepun diundi dalam kumpulan paling mencuri tumpuan bersama juara bertahan, Qatar pada undian rasmi 2027 AFC Asian Cup yang berlangsung di Diriyah, awal pagi tadi.
Pada kejohanan yang akan berlangsung di Arab Saudi dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027 itu, Jepun dan Qatar bakal bersaing dalam Kumpulan F bersama Thailand serta Indonesia.
Qatar hadir dengan reputasi selaku juara dua edisi berturut-turut selepas menjuarai kejohanan pada 2019 dan 2023, manakala Jepun memburu gelaran pertama sejak kali terakhir menjulang trofi pada 2011.
Sementara itu, tuan rumah diundi dalam Kumpulan A bersama Kuwait, Oman dan Palestin.
Ketua jurulatih Arab Saudi, Giorgos Donis mengakui kelebihan beraksi di laman sendiri mampu memberi suntikan semangat buat pasukannya memburu gelaran keempat.
“Kami memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri. Sudah tentu ada tekanan, namun kami akan cuba mengendalikannya dengan pengalaman yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, hanya satu slot terakhir masih belum dimuktamadkan apabila Lebanon dan Yemen bakal berentap dalam aksi playoff di Doha pada 4 Jun depan.
Berikut undian penuh Piala Asia 2027:
Kumpulan A: Arab Saudi Arabia, Kuwait, Oman, Palestin
Kumpulan B: Uzbekistan, Bahrain, Korea Utara, Jordan
Kumpulan C: Iran, Syria, Kyrgyzstan, China
Kumpulan D: Australia, Tajikistan, Iraq, Singapura
Kumpulan E: Korea Selatan, UAE, Vietnam, Lebanon/Yemen
Kumpulan F: Japan, Qatar, Thailand, Indonesia.