BURIRAM – Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dikenakan denda sebanyak AS$500 (RM1,960) oleh Race Direction selepas didapati melanggar peraturan ketika sambutan kemenangan perlumbaan pertama (Race 1) kategori ASB1000 pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Chang, semalam.
Menerusi notis rasmi yang dikeluarkan pihak Race Direction ARRC pada 9 Mei lalu, pelumba JDT Racing Team itu didapati melanggar Artikel 1.21.18 dan 1.21.2.3 dalam peraturan FIM Asia Road Racing Championship 2026.
Menurut kenyataan tersebut, kesalahan itu berlaku ketika Hafizh meraikan kemenangan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama bersama jentera Ducati Panigale V4R miliknya.
Artikel 1.21.18 menetapkan bahawa pelumba tidak dibenarkan berhenti atau memperlahankan motosikal di laluan lurus penamat sebaik sahaja bendera penamat dikibarkan bagi tujuan sambutan kemenangan. Sebarang sambutan atau pengambilan bendera perlu dilakukan di kawasan selamat di tepi litar sebelum kembali semula ke trek.
Dalam masa sama, Artikel 1.21.2 turut menjelaskan bahawa setiap pelumba perlu bertindak secara bertanggungjawab dan tidak mendatangkan bahaya kepada pelumba lain sama ada di litar atau lorong pit.
Susulan itu, Race Direction memutuskan untuk mengenakan denda minimum sebanyak AS$500 terhadap Hafizh, selain mengesahkan keputusan tersebut adalah muktamad.
Bagaimanapun, kemenangan diraih bekas pelumba MotoGP negara itu dalam Race 1 tidak terjejas meskipun dikenakan hukuman berkenaan.
Terdahulu, Hafizh tampil cemerlang apabila menguasai sesi latihan sebelum meneruskan momentum tersebut dengan muncul juara perlumbaan pertama ASB1000 di Buriram.
Perhatian kini terarah kepada aksi Race 2 hari ini sama ada Hafizh mampu meneruskan rentak kemenangan dalam perebutan kejuaraan musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ARRC