LE MANS – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus mempamerkan peningkatan memberangsangkan apabila bakal memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Perancis 2026 di petak ke-12 di Litar Bugatti, awal pagi tadi
Pada sesi kelayakan pusingan keempat musim 2026 itu, Hakim berjaya mengesahkan tempat ke sesi kelayakan kedua (Q2) selepas menampilkan aksi cemerlang dalam sesi latihan apabila menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.
Keputusan tersebut sekali gus membolehkan pelumba ZK Racing itu mengelak daripada perlu mengharungi sesi Q1.
Meneruskan momentum positif berkenaan, Hakim sekali lagi memperagakan kepantasan konsisten ketika sesi Q2 untuk bersaing bersama pelumba terbaik Moto3 dunia.
Pelumba negara itu akhirnya menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-12 selepas mencatat masa terpantas 1 minit 40.761 saat, hanya 0.717 saat di belakang pemenang petak utama, Adrián Fernández daripada Leopard Racing yang merekodkan masa 1:40.044s.
Walaupun terlepas peluang berada dalam tiga barisan hadapan, prestasi Hakim tetap membuktikan keyakinan serta kematangannya semakin meningkat untuk bersaing secara konsisten dalam saingan sengit Moto3.
Bermula dari petak ke-12 turut memberikan peluang cerah buat pelumba muda Malaysia itu memburu kutipan mata berharga pada perlumbaan di Le Mans.
Litar Bugatti terkenal sebagai antara litar paling teknikal dalam kalendar MotoGP yang memerlukan ketepatan membrek serta pengurusan perlumbaan yang baik, aspek yang terus menunjukkan peningkatan dalam prestasi Hakim musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing