GOMBAK – Pasukan ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM), UiTM Lions melakar sejarah apabila muncul juara sulung kejohanan IIUM Hexangular Rugby 15’s 2026 selepas menewaskan pasukan tuan rumah, IIUM Mustangs 10-5 pada aksi final semalam.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan cuaca tidak menentu itu terpaksa ditamatkan lebih awal, namun kedua-dua pasukan tetap mempamerkan aksi berkualiti tinggi dengan corak serangan dan pertahanan yang kemas.
UiTM Lions dilihat lebih menguasai permainan apabila berjaya mengawal penguasaan bola sekali gus memaksa IIUM mengikut rentak permainan mereka.
Ketua pasukan UiTM Lions, Muhammad Hazim Azri Radzi berkata, kejayaan tersebut hadir hasil komitmen tinggi semua pemain walaupun persiapan pasukan bermula agak lewat akibat cuti semester.
“Fokus pemain tetap utuh dan peningkatan prestasi secara konsisten sejak perlawanan pertama menjadi kunci utama kejayaan kami menjulang kejuaraan sulung ini,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu turut didorong sokongan penuh barisan kejurulatihan, pihak pengurusan universiti serta penaja yang sentiasa berada di belakang pasukan.
Kemenangan tersebut turut memberi makna cukup besar buat UiTM Lions yang kini meraikan ulang tahun penubuhan ke-50 sejak tahun 1976.
Ia sekali gus mengukuhkan status UiTM Lions sebagai antara kuasa besar ragbi universiti di negara ini selain menjadi simbol kesinambungan legasi pasukan berkenaan selama lima dekad.
Sementara itu, ketua jurulatih UiTM Lions, Zamri Abd Kahar berkata, pasukan kini mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi acara ragbi tujuh sebelah pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Ogos depan.
“Kami mahu memastikan momentum kecemerlangan ini diteruskan dalam kejohanan akan datang,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UiTM