ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukir sejarah bola sepak dunia apabila menyamai rekod 108 perlawanan liga tanpa kalah selepas membelasah Kelantan TRW FC 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan besar itu menyaksikan Harimau Selatan kini berkongsi rekod dunia bersama kelab gergasi Ivory Coast, ASEC Mimosas yang sebelum ini memegang rekod berkenaan.
Lebih manis, skuad kendalian Xisco Munoz turut menamatkan musim dengan rekod sempurna selain mengesahkan dominasi mutlak mereka dalam saingan domestik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
JDT kali terakhir tewas dalam saingan Liga Super pada April 2021 dan sejak itu terus kebal dengan aksi konsisten, disiplin taktikal serta kekuatan skuad yang sukar digugat pencabar lain.
Kejayaan itu juga menyaksikan JDT melengkapkan empat musim berturut-turut tanpa kalah, selain keseluruhan enam musim unbeaten selepas turut melakukannya pada musim 2016 dan 2020.
Kini, hanya satu lagi perlawanan memisahkan Harimau Selatan daripada mencipta rekod dunia baharu apabila Liga Super musim 2026/27 dijangka membuka tirai Ogos depan.
Pencapaian tersebut bukan sahaja membuktikan kekuatan JDT sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia, malah menyerlahkan kemampuan kelab itu mengangkat standard profesional bola sepak Asia Tenggara ke tahap lebih tinggi.
Dengan momentum luar biasa dan sejarah semakin hampir untuk dipecahkan, JDT kini berada di landasan terbaik untuk mencipta penanda aras baharu dalam bola sepak dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST