KUALA LUMPUR – Kumpulan penyokong bola sepak tempatan, Ultras Malaya kembali mencetuskan perdebatan dalam arena bola sepak negara selepas tampil menyokong gerakan #KembalikanBolaSepakKepadaRakyat (KBSKR) menerusi satu artikel yang dimuat naik di platform UM’07.
Artikel bertajuk “Hari Ini, Menuntut Akauntabiliti Dianggap Liabiliti” itu menyuarakan kebimbangan terhadap budaya dalam bola sepak Malaysia yang didakwa semakin melihat penyokong sebagai pengganggu apabila mereka menuntut ketelusan dan penjelasan terhadap isu-isu semasa.
Menurutnya, masalah sebenar bola sepak tempatan bukan lagi sekadar melibatkan sistem yang gagal atau keputusan kontroversi, sebaliknya apabila suara penyokong yang bertanya dianggap sebagai ancaman kepada sukan itu sendiri.
“Penyokong bertanya soalan dilabel bising. Penyokong menuntut jawapan dituduh menyerang bola sepak. Penyokong bercakap soal reformasi pula dianggap mahu merosakkan sukan ini,” menurut artikel berkenaan.
Ultras Malaya turut menegaskan bahawa KBSKR bukan gerakan politik atau cubaan mengambil alih institusi bola sepak negara, sebaliknya hanya mahu memastikan wujudnya akauntabiliti dalam pengurusan bola sepak Malaysia.
Antara tuntutan utama gerakan tersebut ialah semakan terhadap status kerakyatan tujuh pemain yang didakwa dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen.
Menurut kenyataan itu, sekiranya proses mendapatkan kerakyatan dilakukan melalui kaedah yang meragukan atau dimanipulasi, maka isu tersebut tidak lagi boleh dianggap perkara teknikal kecil.
“Ini bukan soal membenci pemain. Ini soal proses, integriti negara dan maruah bola sepak Malaysia,” katanya.
Gerakan itu turut menggesa skuad kebangsaan Harimau Malaya dikembalikan sepenuhnya di bawah kendalian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) demi memastikan wujud struktur yang lebih jelas serta bertanggungjawab.
Menurut artikel itu, masalah utama ketika ini ialah tanggungjawab dalam bola sepak negara semakin kabur apabila pihak tertentu didakwa saling menuding jari setiap kali tercetus kontroversi.
“Apabila berlaku kegagalan, rakyat perlu tahu siapa yang bertanggungjawab. Bila berlaku skandal, rakyat perlu tahu siapa yang perlu menjawab,” katanya.
Selain itu, Ultras Malaya mendakwa bola sepak negara turut dibelenggu masalah lama termasuk isu tunggakan gaji pemain, ketidakstabilan kewangan kelab, pembangunan akar umbi yang lemah, infrastruktur tidak memuaskan dan kekurangan perancangan jangka panjang.
Malah, mereka turut mendakwa penyokong hanya dihargai apabila melibatkan keuntungan kewangan semata-mata.
Menurut kenyataan itu, pelbagai kontroversi termasuk isu dokumen dan krisis kelab hanyalah simptom kepada masalah tadbir urus yang lebih besar dalam ekosistem bola sepak negara.
“Selagi bola sepak diurus sebagai projek kuasa dan bukan amanah rakyat, masalah ini akan terus berulang,” jelas kenyataan itu lagi.
Artikel berkenaan diakhiri dengan persoalan terhadap pihak yang mengkritik gerakan KBSKR sama ada mereka benar-benar mempertahankan bola sepak Malaysia atau sekadar mempertahankan budaya yang tidak mahu dipersoalkan.
Ultras Malaya turut menegaskan bahawa tuntutan terhadap akauntabiliti tidak seharusnya dianggap ancaman, sebaliknya asas penting untuk membina semula kepercayaan serta masa depan bola sepak negara.
“Menuntut akauntabiliti bukan liabiliti sebenar. Liabiliti sebenar ialah sistem yang takut kepada penelitian,” menurut kenyataan tersebut. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM