PASIR GUDANG – Johor Darul Ta’zim (JDT) II semakin menghampiri gelaran Liga A1 Semi-Pro 2025/26 selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Selangor FC II di Stadium MPPG, Pasir Gudang malam tadi.
Dalam aksi yang dianggap penentu kejuaraan dengan hanya berbaki dua perlawanan musim ini, skuad kendalian Josep Ferré mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit pada penghujung permainan.
JDT II turun dengan barisan berpengalaman diketuai Mohamadou Sumareh, Junior Eldstal dan penyerang import Bosnia, Ajdin Mujagic, manakala Selangor FC II mempertaruhkan tenaga muda untuk memburu mata penting.
Skuad Harimau Selatan bermula garang apabila Sumareh membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan looping yang menewaskan penjaga gol Selangor, Hazriq Haqqim.
Nazmi Faiz hampir menggandakan kedudukan lima minit kemudian, namun rembatan jarak jauhnya sedikit tersasar.
Walaupun diasak bertubi-tubi, Selangor FC II berjaya menyamakan kedudukan menerusi Haykal Danish sebelum tamat babak pertama untuk mengikat kedudukan 1-1.
Memasuki separuh masa kedua, JDT II kembali menguasai permainan, namun Selangor FC II tampil lebih berani melakukan tekanan tinggi.
Pelawat mengejutkan tuan rumah pada minit ke-82 apabila Adam Haikal menyempurnakan gerakan pantas untuk meletakkan Selangor FC II di depan 2-1.
Namun, pengalaman jelas membezakan kedua-dua pasukan apabila Syamer Kutty Abba muncul penyelamat dengan gol penyamaan dramatik pada minit ke-88 sebelum Mujagic menceriakan penyokong tuan rumah menerusi jaringan kemenangan beberapa minit kemudian.
Kemenangan itu memberikan JDT II kelebihan tiga mata di puncak liga berbanding pencabar terdekat, Selangor FC II, sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk menjulang kejuaraan Liga A1 Semi-Pro musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST