KUALA LUMPUR – Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin mengakui pasukannya bakal berdepan cabaran getir ketika menentang Nam Dinh FC pada aksi separuh akhir kedua Shopee Cup 2025/26 di Stadium Thien Truong, Vietnam, malam ini.
Menurut pertahanan berpengalaman itu, aksi di gelanggang lawan sentiasa sukar lebih-lebih lagi dengan sokongan padu penyokong tuan rumah yang terkenal dengan suasana cukup ‘panas’.
“Kami semua menjangkakan satu perlawanan yang sangat sukar, terutamanya bermain di tempat lawan. Namun, saya percaya kami mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendalikan situasi seperti ini.
“Ia bergantung kepada bagaimana kami memulakan permainan dan bagaimana kami menamatkannya,” katanya.
Safuwan turut menyifatkan perlawanan tersebut sebagai ‘malam yang panjang’ memandangkan kedua-dua pasukan memiliki kualiti tersendiri selain tekanan besar untuk memburu tiket ke final.
“Kedua-dua pasukan mempunyai kualiti yang cukup baik. Fokus kami adalah melakukan perkara yang perlu untuk melangkah ke final,” ujarnya.
Dalam masa sama, pemain antarabangsa Singapura itu mengakui kekuatan jentera serangan Nam Dinh, khususnya penyerang berbisa, Nguyen Xuan Son yang dianggap antara penyerang terbaik pernah dihadapinya.
“Kami tahu betapa berbahayanya mereka. Saya sudah beberapa kali berdepan Son dan bagi saya dia antara penyerang terbaik yang pernah saya lawan,” katanya.
Bagaimanapun, Safuwan percaya Selangor memiliki disiplin dan kualiti untuk bersaing di pentas tertinggi bola sepak Asia Tenggara.
“Ini adalah platform terbesar di Asia Tenggara untuk kami membuktikan kemampuan. Kami ada kualiti, tetapi bola sepak sentiasa sukar dijangka dan mana-mana pasukan boleh merebut peluang,” jelasnya.
Mengulas peluang Selangor memburu final, Safuwan berkata skuad Gergasi Merah tidak mahu mensia-siakan peluang selepas beberapa kali terkandas pada peringkat penting sebelum ini.
“Ini kali ketiga kami mengetuk pintu final. Mungkin kami belum memenangi apa-apa musim ini, tetapi itu tidak bermakna kami bergerak ke belakang. Kami sudah membuktikan kemampuan kami,” katanya.
Tambahnya, barisan kejurulatihan juga berjaya memastikan pasukan kekal bersedia dari segi mental walaupun mengharungi jadual padat musim ini.
“Kami mempunyai beberapa hari yang baik untuk kembali bersatu sebagai satu pasukan. Jurulatih telah melakukan tugas dengan sangat baik dan kini kami bersedia untuk berjuang demi peluang ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SFC