BANGKOK – Lee Zii Jia meneruskan kemaraan cemerlang apabila berjaya melangkah ke saingan utama Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2026 selepas mencatat dua kemenangan meyakinkan dalam aksi kelayakan semalam.
Pada aksi pembukaan kejohanan bertaraf Super 500 itu, jaguh perseorangan lelaki negara tersebut tampil cukup bertenaga untuk menewaskan pemain India, Manav Choudhary 21-19, 21-18 sebelum meneruskan rentak garang dengan menyingkirkan wakil Taiwan, Liao Jhuo-Fu 21-16, 21-13.
Kemenangan itu sekali gus mengesahkan slot Lee ke undian utama dan memberi petanda positif terhadap peningkatan prestasinya di pentas antarabangsa musim ini.
Bekas juara All England itu dilihat semakin menemui sentuhan terbaik apabila berjaya mempamerkan permainan agresif selain kawalan gelanggang yang lebih kemas sepanjang aksi kelayakan berlangsung di Bangkok.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin turut memperagakan semangat juang tinggi dalam saingan kelayakan.
Aidil bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pemain Taiwan, Ting Yen-Chen 13-21, 21-16, 21-12 pada pusingan pertama kelayakan.
Bagaimanapun, langkah pemain muda negara itu tersekat pada pusingan kedua selepas tunduk kepada pemain China, Zhu Xuan Chen 19-21, 14-21.
Dalam acara beregu lelaki, pasangan negara Choong Hon Jian dan Wong Vin Sean mencuri perhatian apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan gandingan Thailand, Kittinupong Kedren-Lukas E. Wedler 14-21, 21-12, 21-15.
Namun, nasib berbeza menimpa pasangan negara, Lau Yi Sheng dan Lim Tze Jian yang gagal menyaingi kekuatan pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu sebelum tewas straight set 10-21, 14-21.
Secara keseluruhan, kem badminton negara masih boleh menarik nafas lega apabila berjaya memulakan kempen di Bangkok dengan keputusan positif, terutama menerusi aksi meyakinkan Lee yang kembali memberi harapan besar kepada Malaysia dalam cabaran Terbuka Thailand kali ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Tuatueng Badminton