BUKIT JALIL – Kuching City FC tidak mahu sekadar menjadi pelengkap jadual apabila turun menentang gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia 2025/26 malam ini.
Pengendali The Cats, Aidil Sharin Sahak menegaskan pasukannya hadir dengan misi besar untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar layak berada di pentas final selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini.
Menurut jurulatih kelahiran Singapura itu, motivasi menjadi elemen paling penting buat skuadnya memandangkan peluang beraksi di final bukan sesuatu yang datang setiap tahun.
“Kami bukan kelab besar dan masih baharu dalam arena ini, jadi motivasi sentiasa penting buat pasukan.
“Para pemain tahu betapa besarnya final ini. Peluang seperti ini jarang datang, jadi semua pemain sangat teruja dan mahu memberikan yang terbaik,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.
Aidil turut mengakui bangga dengan perkembangan pesat Kuching City yang berjaya melangkaui sasaran asal selepas hanya mengambil masa dua tahun untuk berada di tahap tertinggi bola sepak tempatan.
“Saya pernah berjanji kepada presiden kelab untuk membawa Kuching City ke satu tahap lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun, tetapi kami berjaya melakukannya lebih awal.
“Kredit sepenuhnya kepada pemain kerana mereka bekerja keras setiap hari. Kami mungkin tiada bintang besar, tetapi kami ada semangat berpasukan, karakter dan komitmen,” ujarnya.
Beliau turut memuji mentaliti pemainnya yang sentiasa bangkit ketika melalui detik sukar sepanjang musim sehingga berjaya melakar sejarah mara ke final buat kali pertama.
Dalam masa sama, Aidil menegaskan skuad kendaliannya tidak akan gentar dengan reputasi JDT yang memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut.
“Kami bukan datang ke sini hanya untuk melengkapkan final.
“Kami mahu buktikan kenapa kami layak berada di tangga kedua liga, layak beraksi di ACL dan layak berada di final ini,” katanya.
Aidil turut mengingatkan pemain supaya kekal tenang terutama pada 15 hingga 20 minit pertama perlawanan bagi mengelakkan tekanan pentas final menjejaskan rentak permainan.
Sementara itu, kapten Kuching City, James Okuwuosa menyifatkan perjalanan pasukan ke final sebagai pencapaian cukup besar buat seluruh rakyat Sarawak yang sememangnya cukup meminati bola sepak.
“Ini pencapaian besar buat kami. Penyokong di Sarawak sangat bersemangat dan pemain muda juga sentiasa mahu belajar serta berkembang setiap hari,” katanya.
Menurut pertahanan import dari Nigeria itu, kekuatan utama Kuching City musim ini adalah semangat kebersamaan yang diterapkan dalam pasukan.
“Selagi bola sepak dimainkan selama 90 minit, sesiapa sahaja boleh ditewaskan.
“Kuching City sudah buktikan dengan kerja keras dan kepercayaan, apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL