KUALA LUMPUR – Dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap retorik politik berbahaya yang mempromosikan dominasi, intimidasi dan kuasa unilateral terhadap masyarakat dunia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, retorik berulang yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencerminkan kesinambungan pemikiran imperialis yang melihat urusan dunia menerusi lensa paksaan, ketenteraan dan tekanan ekonomi.
Katanya, pendekatan tersebut bukan lagi berasaskan keadilan, diplomasi dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Komuniti antarabangsa semakin bimbang terhadap ancaman melulu terhadap negara berdaulat, sokongan tanpa syarat terhadap militarisme agresif serta normalisasi naratif peperangan.
“Selain itu, penggunaan sekatan ekonomi sebagai senjata dan perlindungan berterusan terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat tertindas turut memburukkan keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendekatan sedemikian telah memperdalam ketidakstabilan global, memperluas jurang perpecahan dan melemahkan undang-undang antarabangsa.
Katanya, krisis di Gaza menjadi bukti jelas keruntuhan moral sistem global yang dikuasai oleh keadilan terpilih serta hipokrasi geopolitik.
“Jutaan manusia menyaksikan bagaimana kuasa besar melindungi impuniti, sedangkan rakyat tidak bersalah berdepan pembunuhan, kebuluran dan kemusnahan.
“Berdiam diri terhadap penindasan adalah pengkhianatan kepada kemanusiaan,” ujarnya.
Beliau berkata, dunia kini semakin menolak monopoli kebenaran oleh negara kuasa besar, pengawalan politik dunia oleh pakatan ketenteraan dan penindasan terhadap suara yang menuntut keadilan.
Tambahnya, keamanan sebenar tidak lahir daripada kesombongan kuasa, manakala demokrasi tidak boleh hidup dengan amalan standard berganda.
“AS perlu melakukan muhasabah moral dan politik secara serius.
“Perubahan mesti bermula dari dalam masyarakat Amerika sendiri termasuk mengembalikan etika demokrasi, menamatkan pengaruh industri perang, menangani rasisme sistemik dan Islamofobia serta menghormati undang-undang antarabangsa,” katanya.
Mohd Azmi berkata, rakyat Amerika sendiri memikul tanggungjawab besar untuk memastikan negara itu tidak terus menjadi punca konflik dan ketidakstabilan dunia.
“Dunia tidak menolak Amerika, tetapi dunia menuntut Amerika yang menyumbang kepada keamanan, bukannya dominasi,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan dunia kini berada di persimpangan sejarah sama ada mahu meneruskan laluan militarisme dan peperangan berterusan atau membina tatanan dunia baharu berasaskan keadilan, maruah dan keamanan sejagat.
“Zaman dominasi tanpa soal sedang menuju penghujungnya. Dunia multipolar sedang terbentuk dan suara rakyat tertindas semakin kuat.
“Sejarah telah membuktikan bahawa tiada empayar kekal apabila ia menolak keadilan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru komuniti antarabangsa supaya melangkah lebih jauh daripada sekadar kenyataan simbolik dan kecaman terpilih.
Katanya, kerajaan, gerakan masyarakat sivil, intelektual, pemimpin agama dan pejuang hak asasi manusia perlu bersatu menentang politik ugutan dan ekonomi perang.
“Dari Iraq hingga Afghanistan, Libya hingga Gaza, dunia menyaksikan akibat dasar yang dibina atas dominasi, bukannya keamanan sebenar.
“Negara kuasa besar tidak boleh terus berada di atas akauntabiliti, manakala undang-undang antarabangsa tidak boleh diterapkan secara terpilih,” ujarnya.
Beliau turut menggesa kebangkitan global menentang neo-kolonialisme, eksploitasi ekonomi, penjajahan ketenteraan dan supremasi kaum.
Menurutnya, negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin mempunyai kekuatan manusia, potensi ekonomi serta legitimasi moral untuk bangkit membina keseimbangan kuasa dunia yang lebih adil.
“BRICS dan platform multilateral baharu menandakan perubahan dunia ke arah keseimbangan kuasa yang lebih saksama.
“Pada masa sama, negara-negara Islam juga perlu membina semula kekuatan dalaman dan kesatuan umat bagi menghadapi ketidakadilan global,” katanya.
Beliau berkata, pembebasan rakyat tertindas memerlukan pembaharuan ilmu, kerjasama ekonomi, kemajuan teknologi, kepimpinan beretika dan solidariti berani.
“Perjuangan ini bukan konflik antara tamadun atau bangsa.
“Ia adalah pertarungan antara keadilan dan kezaliman, kebenaran dan propaganda serta keamanan dan peperangan berterusan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Ken Nishimura / AFP via Getty Images