NILAI – Enam pengamal media yang konsisten melaporkan isu rasuah dan tadbir urus menerima Anugerah Tokoh Wartawan Antirasuah MCW 2026 sempena Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Keempat (MATT4) Malaysia Corruption Watch (MCW) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.
Penerima anugerah itu ialah Mohd. Anwar Patho Rohman (Berita Harian), Mohd. Jamilul Anbia Md. Denin (Harian Metro), Mohd. Fahmi Ismail (Kosmo!), Aqilah Mior Kamarulbaid (Utusan Malaysia), Mohd. Khuzairi Ismail (Malaysia Gazette) dan Rudy Sham Abdul Raof (Nasional Daily).
Kesemua penerima turut menerima Sijil Penghargaan Khas serta Sayap Kebaktian MCW 2026 sebagai simbol penghormatan terhadap sumbangan mereka dalam menyokong usaha membudayakan integriti dan menolak amalan rasuah.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada wartawan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan agenda antirasuah serta membantu memperluaskan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integriti dalam pentadbiran negara.
Menurut beliau, media merupakan rakan strategik MCW dalam menyampaikan maklumat yang tepat, membina kefahaman masyarakat serta menyokong usaha memperkukuhkan institusi yang bertanggungjawab memerangi rasuah.
“Mereka menulis dan memberikan perhatian serius terhadap pembabitan MCW dalam memperjuangkan agenda sifar rasuah serta menjelaskan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara menyeluruh kepada masyarakat.
“Setiap penulisan dan penerbitan yang dihasilkan membantu memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi berkaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. MCW sentiasa bergerak seiring dengan media dalam mengetengahkan isu-isu yang dapat memperkukuhkan kredibiliti institusi yang dipayungi SPRM,” katanya.
Jais berkata, sokongan media amat penting bagi memastikan mesej antirasuah dapat disampaikan secara lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat.
“Media memainkan peranan yang begitu utuh dalam membantu MCW memerangi gejala rasuah. Tanpa mereka, amat sukar untuk kita menyampaikan mesej dan memperluaskan kempen antirasuah kepada masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Majlis penyampaian anugerah itu berlangsung sempena MATT4 yang diadakan di Dewan Kuliah 1, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – IHSAN Portal NasionalDaily
