YANGON – Dua jaringan penyerang naturalisasi, Paulo Josué dalam tempoh lima minit pada babak kedua memastikan Harimau Malaya bangkit menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN Hyundai 2026 di Stadium Thuwunna, hari ini.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe memulakan kempen dengan langkah kanan meskipun terlebih dahulu dikejutkan menerusi jaringan Myat Kaung Khant seawal minit ke-10.
Malaysia sebenarnya memulakan perlawanan dengan baik apabila Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad masing-masing mencipta peluang pada awal permainan, namun Myanmar yang terlebih dahulu memecah kebuntuan.
Gerakan Win Naing Tun di sebelah kiri menyaksikan percubaannya disekat Rodney Akwensivie sebelum bola muntah disambar Myat Kaung Khant yang tenang menyungkit bola melepasi penjaga gol, Azri Ghani.
Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-29 apabila sepakan percuma Endrick tertanduk pemain Myanmar, Than Paing ke palang gol sendiri.
Myanmar pula hampir menggandakan kelebihan sebelum tamat babak pertama, namun percubaan Win Naing Tun hanya melewati pintu gol sebelum sekali lagi mensia-siakan peluang apabila rembatannya terkena palang pada penghujung separuh masa.
Malaysia akhirnya menemui gol penyamaan pada minit ke-52 hasil sepakan penjuru Endrick yang disambung Sumareh ke dalam kotak enam ela sebelum Josué pantas berpusing dan menyempurnakan peluang dari jarak dekat.
Lima minit kemudian, Sumareh sekali lagi memainkan peranan penting apabila dijatuhkan kapten Myanmar, Nanda Kyaw di dalam kawasan penalti, memaksa pengadil dari Jepun, Yusuke Ohashi menghadiahkan sepakan penalti.
Josué tidak mensia-siakan peluang apabila mudah memperdayakan penjaga gol Myanmar, Zin Nyi Nyi Aung untuk meledak gol kedua sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan 2-1.
Myanmar berusaha keras memburu gol penyamaan pada baki permainan, namun Azri Ghani bertindak cemerlang menepis tandukan Than Paing ke palang gol sebelum Saw Myo Zaw sekadar menguis bola ke jaring sisi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata penuh untuk memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan bergaya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ASEAN UTD FC
