YANGON – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN Hyundai 2026, malam tadi.
Menurut Tan, kejayaan meraih tiga mata itu cukup bermakna memandangkan pemain hanya menjalani latihan bersama kira-kira 10 hari dan masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan barisan kejurulatihan.
“Kami bekerja keras untuk bangkit semula dalam perlawanan. Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dan berharap para pemain terus fokus menghadapi aksi seterusnya serta sentiasa meningkatkan prestasi.
“Saya bangga dengan pemain-pemain. Selepas hanya kira-kira 10 hari bersama, bukan mudah untuk mereka memahami sepenuhnya apa yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Pada aksi itu, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Myanmar sebelum bangkit menerusi dua gol Paulo Josué pada babak kedua untuk menghadiahkan kemenangan kepada Harimau Malaya.
Tan mengakui gol yang dibolosi bukan sesuatu yang dirancang, namun beliau sememangnya sudah menjangkakan ancaman daripada pasukan tuan rumah yang memiliki barisan pemain pantas ketika melakukan serangan balas.
“Gol yang kami bolosi bukan sesuatu yang dirancang, tetapi kami tahu Myanmar sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas dan mempunyai pemain yang laju.
“Perkara paling penting ialah kami berjaya memberikan reaksi pada babak kedua. Secara keseluruhan, saya fikir kami mempamerkan prestasi yang baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Tan turut memberikan pujian kepada Myanmar yang disifatkan sebagai antara lawan paling sukar dihadapi Malaysia sejak kebelakangan ini.
Katanya, kekuatan fizikal serta komitmen tinggi pemain Myanmar menyebabkan Harimau Malaya terpaksa bekerja lebih keras sepanjang 90 minit permainan.
“Myanmar merupakan pasukan yang sangat kuat dari segi fizikal. Pemain mereka cukup bermotivasi dan memberikan komitmen tinggi dalam setiap situasi perlawanan.
“Mereka bermain dengan intensiti yang tinggi dan menyukarkan kami. Kami sudah menjangkakan sebelum perlawanan bahawa aksi ini bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Sementara itu, Paulo yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas meledak dua gol kemenangan berkata, kejayaan meraih tiga mata lebih penting berbanding pencapaian peribadinya.
Malaysia kini mengalihkan tumpuan kepada aksi kedua Kumpulan B menentang Laos dengan kemenangan mampu meletakkan Harimau Malaya pada kedudukan terbaik untuk memburu slot ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
