NILAI – Jais Abdul Karim dipilih semula sebagai Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bagi penggal 2026 hingga 2029 pada Mesyuarat Agung Tritahunan Kali Keempat (MATT4) 2026 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.
Pemilihan itu dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan MCW bagi membentuk barisan kepimpinan baharu yang akan meneruskan agenda memperkukuh pendidikan integriti, advokasi antirasuah, penyelidikan dasar, jaringan strategik dan kelestarian organisasi untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Jais akan dibantu tiga Timbalan Presiden iaitu Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Prof. Datuk Dr. GP Doraisamy Govindasamy dan Julaila Samsudin.
Lima Naib Presiden yang dipilih ialah Anwar Sidek Yaaruddin, Muruga Rajan Lingappan, Qamar Arif Mohd. Auzi, Tan Yen Wooi dan Mohamad Firdaus Perseh.
Selain itu, seramai 10 Ahli Jawatankuasa turut dipilih bagi memperkukuh pentadbiran serta memperluaskan gerakan MCW di seluruh negara.
Setiausaha Agung MCW, Rosdi Amir berkata, ahli-ahli pertubuhan itu telah memberikan mandat kepada barisan kepimpinan baharu untuk meneruskan perjuangan organisasi sepanjang penggal 2026 hingga 2029.
Menurut beliau, kepimpinan yang dipilih akan memfokuskan usaha memperkukuh pendidikan integriti, advokasi antirasuah, penyelidikan dasar, jaringan strategik serta memastikan kelestarian organisasi.
“Ahli-ahli telah memberikan mandat kepada barisan kepimpinan yang akan meneruskan agenda memperkukuh pendidikan integriti, advokasi antirasuah, penyelidikan dasar, jaringan strategik dan kelestarian organisasi untuk tempoh tiga tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MATT4 yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM itu turut diserikan dengan sesi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dialog eksekutif, pelancaran penerbitan MCW serta penyampaian pelbagai anugerah.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan. – DETIK MALAYSIA
