NILAI – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memperkenalkan hala tuju baharu organisasi menerusi falsafah ‘Eagle View – Melihat Lebih Jauh, Bertindak Lebih Tegas’ bagi memperkukuh usaha pencegahan rasuah secara lebih proaktif dan berimpak untuk penggal 2026 hingga 2029.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, hala tuju itu diperkenalkan ketika Mesyuarat Agung Tritahunan MCW Kali Keempat 2026 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.
Menurut beliau, MCW akan terus komited memperkukuh tadbir urus berintegriti, telus dan bebas menerusi kepimpinan beretika serta amalan semak dan imbang yang berkesan.
“Falsafah ini menjadi panduan baharu MCW dalam memperkasakan usaha pencegahan rasuah agar lebih proaktif dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Saryan.
Selain perasmian mesyuarat agung, program itu turut menampilkan sesi khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Sesi Dialog Eksekutif yang memfokuskan kepada pembentukan landskap integriti dalam kalangan masyarakat madani.
Dalam pada itu, MCW turut menyeru seluruh ahlinya supaya terus memainkan peranan sebagai rakan strategik masyarakat dengan menyalurkan maklumat berkaitan rasuah melalui saluran yang sah, selain mengekalkan pendirian yang bebas, profesional dan tidak berpihak.
Sebagai simbol komitmen terhadap perjuangan antirasuah, MCW turut memperkenalkan Ikrar 5B MCW yang menggariskan komitmen ahli untuk menjauhi rasuah, menambah ilmu, melaporkan salah guna kuasa, mempertahankan kepentingan rakyat serta mematuhi undang-undang dan etika organisasi.
