BANGKOK – Petarung Muay Thai negara, Aliff Sor Dechapan melakar sejarah apabila menewaskan legenda sukan itu, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan knockout (KO) pada pusingan kelima untuk merangkul gelaran ONE Interim Strawweight Muay Thai World Title di Stadium Lumpinee, Bangkok semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Aliff, 22, muncul rakyat Malaysia pertama memenangi tali pinggang kejuaraan interim Muay Thai kategori straw ONE Championship selepas menunaikan janjinya untuk menewaskan bekas juara dunia dua divisyen dan dua sukan tersebut.
Aksi utama The Inner Circle 23 itu bermula berhati-hati apabila kedua-dua petarung saling menguji kekuatan masing-masing.
Aliff yang menerima sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum perlawanan memecahkan kebuntuan menerusi kombinasi tendangan dan tumbukan kanan diikuti dua libasan siku tajam bagi menguasai pusingan awal.
Bagaimanapun, Sam-A menggunakan pengalaman luasnya untuk bangkit pada pusingan kedua apabila berjaya melepasi kawalan Aliff menerusi sepakan tinggi serta beberapa tendangan kaki kiri yang menjadi senjata utamanya.
Walaupun momentum seketika memihak kepada lawan, Aliff kekal tenang dengan gerakan kaki yang kemas serta serangan balas tepat bagi menghalang Sam-A membina rentak.
Pada pusingan ketiga, Sam-A terus memberi tekanan menggunakan tangan kiri, namun Aliff memilih untuk bertarung dari jarak jauh, memanfaatkan kelebihan jangkauannya sebelum membalas dengan kombinasi tumbukan yang mengena sasaran.
Memasuki pusingan kejuaraan, Aliff dilihat semakin mendominasi perlawanan apabila melancarkan serangan lutut terbang dan sepakan belakang berpusing, manakala rentak Sam-A mula memperlihatkan penurunan.
Pada pusingan kelima, Sam-A cuba bangkit, namun Aliff enggan mensia-siakan peluang apabila satu tumbukan kanan menjatuhkan lawannya.
Selepas Sam-A bangkit daripada kiraan pengadil, Aliff menggandakan asakan menerusi beberapa siri serangan sebelum satu sepakan ke kepala diikuti tumbukan kanan sekali lagi menjatuhkan legenda berusia 42 tahun itu.
Pengadil kemudian menghentikan pertarungan pada minit 1:09 pusingan kelima sekali gus mengesahkan kemenangan KO buat Aliff.
Kemenangan itu turut menyaksikan Aliff meningkatkan rekod kerjayanya kepada 63 kemenangan dan sembilan kekalahan, selain membawa pulang bonus persembahan bernilai AS$50,000.
Selepas pertarungan, Aliff turut bersemuka dengan juara dunia divisyen itu, Prajanchai PongSuphan PK, sebagai persediaan menghadapi pertarungan penyatuan gelaran pada masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE Championship
