KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 11 gerai yang dikendalikan warga asing selain mengeluarkan empat notis kompaun terhadap penjaja tempatan dalam Operasi Bersepadu Tebah (Aktiviti Perniagaan Kendalian Warga Asing) Siri 4 Tahun 2026 di sekitar Jalan Selayang Baru dan Pasar Harian Selayang, di sini, hujung minggu lalu.
Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu bermula pada pukul 9 malam Sabtu sebelum berakhir pada pukul 1 pagi Ahad lalu.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemeriksaan aktiviti perniagaan membabitkan jualan buah-buahan, sayur-sayuran, barangan basah serta barangan am yang beroperasi tanpa lesen.
Turut diperiksa ialah premis yang dikendalikan warga asing, premis yang menghalang laluan awam serta peniaga yang melanggar syarat lesen dikeluarkan pihak berkuasa.
“DBKL membuat 11 tindakan sita dan pindah barangan serta peralatan perniagaan ke atas penjaja tanpa lesen yang dikendalikan warga asing serta mengeluarkan empat notis kompaun kepada penjaja warga tempatan yang berniaga tanpa lesen dan menggajikan warga asing tanpa kebenaran sah,” menurut kenyataan itu.
Menurut DBKL, semua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.
Katanya, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.
Dalam masa sama, PDRM dan MPS turut menjalankan pemeriksaan ke atas pekerja warga asing yang mengendalikan atau membantu operasi di premis-premis perniagaan terbabit.
“Operasi bersepadu berjalan lancar dan tindakan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” kata DBKL. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – DBKL
