KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menghormati kedaulatan Malaysia dan menarik balik ancaman untuk menggantung kerjasama keselamatan serta ketenteraan susulan pendirian negara terhadap Palestin dan dasar imigresennya.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan tidak sepatutnya dipaksa mengubah dasar luar atau dasar imigresennya mengikut kehendak mana-mana pihak.
“Tiada badan perundangan asing mempunyai autoriti moral atau undang-undang untuk menentukan dasar luar Malaysia, menetapkan siapa yang boleh memasuki negara ini atau menekan kerajaan supaya meninggalkan prinsip yang dipegang sejak sekian lama,” katanya dalam surat terbuka kepada Ahli Kongres AS hari ini.
Menurut beliau, sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin berasaskan undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan serta hak sejagat setiap rakyat untuk hidup bebas daripada penjajahan dan keganasan.
Katanya, pendirian itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai permusuhan terhadap agama Yahudi atau masyarakat Yahudi.
Mohd. Azmi berkata, ancaman untuk menggantung kerjasama keselamatan dan ketenteraan menghantar mesej bahawa hubungan dengan AS bergantung kepada pematuhan politik, bukannya berasaskan saling menghormati.
“Perkongsian yang kukuh tidak boleh dibina melalui intimidasi. Persahabatan yang tulen juga tidak dapat dikekalkan melalui ugutan.
“Kerjasama antarabangsa sepatutnya berteraskan kesaksamaan, dialog dan penghormatan terhadap kedaulatan sesebuah negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahli Kongres AS menarik balik ancaman tersebut, mengamalkan pendekatan diplomasi yang konstruktif dan menghormati hak setiap negara untuk menentukan dasar luarnya sendiri tanpa sebarang paksaan luar.
“Sejarah telah membuktikan bahawa paksaan hanya melemahkan kepercayaan, manakala saling menghormati akan mengukuhkan hubungan antarabangsa.
“Malaysia akan terus mempertahankan keadilan, undang-undang antarabangsa, maruah kemanusiaan dan hak sah rakyat Palestin,” katanya. – DETIK MALAYSIA
