KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa kerajaan menilai semula keseluruhan bentuk bantuan ketenteraan dan keselamatan yang diterima daripada Amerika Syarikat (AS) susulan ancaman beberapa Ahli Kongres negara itu untuk menggantung bantuan berkenaan sekiranya Malaysia tidak mengubah pendiriannya terhadap Israel.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, ancaman tersebut membuktikan bantuan yang diberikan bukan sekadar berasaskan kerjasama strategik, malah boleh dijadikan instrumen tekanan politik terhadap dasar luar negara yang berdaulat.
“Hakikatnya, bantuan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Malaysia adalah sangat kecil berbanding keseluruhan perbelanjaan pertahanan negara.
“Program latihan dan pembiayaan yang diterima juga tidak memberi kesan besar kepada keupayaan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya dalam kertas polisi yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia tidak seharusnya meletakkan diri dalam kedudukan yang boleh diugut hanya kerana bantuan yang nilainya kecil.
Katanya, maruah negara, kebebasan menentukan dasar luar serta hak mempertahankan prinsip keadilan jauh lebih bernilai berbanding sebarang bentuk bantuan kewangan atau latihan ketenteraan.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada bantuan yang boleh dijadikan alat tekanan politik, sebaliknya memperkukuhkan keupayaan sendiri menerusi pembiayaan domestik, pembangunan industri pertahanan tempatan serta kerjasama strategik dengan negara yang menghormati prinsip saling menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.
“Kerajaan juga perlu menjalankan kajian menyeluruh terhadap semua bentuk kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat bagi memastikan tiada hubungan yang boleh menjejaskan kebebasan membuat keputusan negara pada masa hadapan,” katanya.
Mohd. Azmi menegaskan Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana kuasa asing menentukan siapa yang boleh memasuki negara ini atau memaksa negara mengubah pendiriannya terhadap Palestin.
Beliau berkata, sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah berasaskan prinsip keadilan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa, bukannya dasar yang boleh diubah melalui ugutan politik atau ancaman menarik balik bantuan.
“Jika bantuan dijadikan alat untuk mengugut Malaysia, maka bantuan sedemikian tidak lagi mempunyai nilai sebagai kerjasama strategik, sebaliknya menjadi simbol campur tangan terhadap kebebasan sebuah negara merdeka.
“Malaysia mesti menghantar mesej yang jelas bahawa kedaulatan negara tidak boleh dibeli, prinsip tidak boleh dipaksa dan sokongan terhadap Palestin tidak akan dilemahkan oleh sebarang bentuk tekanan asing,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI
