KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa Kerajaan Malaysia menghentikan penerimaan sebarang bentuk bantuan, pembiayaan, latihan atau sokongan ketenteraan daripada Amerika Syarikat (AS) sekiranya ia dijadikan alat tekanan politik untuk mempengaruhi dasar luar dan keputusan berdaulat negara.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, ancaman sekumpulan Ahli Kongres AS untuk menggantung pembiayaan latihan ketenteraan jika Malaysia tidak mengubah pendiriannya terhadap warga Israel membuktikan bantuan tersebut boleh digunakan sebagai instrumen tekanan.
“Ini bukan lagi kerjasama pertahanan yang berasaskan saling menghormati, sebaliknya telah bertukar menjadi cubaan memaksa sebuah negara berdaulat tunduk kepada kehendak politik Washington dan kepentingan Israel.
“Malaysia tidak boleh membenarkan mana-mana kuasa asing menggunakan bantuan ketenteraan sebagai senjata untuk memaksa negara ini mengorbankan prinsip keadilan, solidariti terhadap Palestin dan hak menentukan dasar luar sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, maruah, kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia jauh lebih bernilai berbanding sebarang bantuan kewangan, latihan ketenteraan atau kemudahan keselamatan yang ditawarkan AS.
Katanya, nilai bantuan ketenteraan dan latihan diterima Malaysia adalah kecil berbanding keseluruhan perbelanjaan pertahanan negara, malah negara mempunyai kemampuan membiayai sendiri keperluan latihan serta pembangunan profesional anggota Angkatan Tentera Malaysia tanpa bergantung kepada bantuan yang disertai tekanan politik.
“Kerjasama pertahanan yang sebenar hendaklah dibina atas dasar kesaksamaan, kepentingan bersama, penghormatan terhadap kedaulatan dan prinsip tidak campur tangan.
“Hubungan yang membolehkan satu pihak mengugut untuk menarik bantuan apabila Malaysia mengambil pendirian yang tidak disenanginya bukanlah suatu perkongsian yang sihat,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa kerajaan mengambil beberapa langkah termasuk menghentikan penerimaan bantuan ketenteraan AS yang disertai syarat atau tekanan politik, menjalankan audit menyeluruh terhadap semua pembiayaan, latihan, peralatan dan program keselamatan yang diterima daripada negara itu serta menggantikan dana latihan asing dengan peruntukan nasional.
Selain itu, pertubuhan tersebut turut menggesa kerajaan memperluaskan kerjasama pertahanan dengan negara yang menghormati kedaulatan Malaysia serta memperkukuh industri pertahanan tempatan, teknologi strategik, keselamatan siber, keselamatan maritim dan keupayaan latihan dalam negara.
Mohd. Azmi menegaskan pendirian Malaysia terhadap Palestin bukan komoditi yang boleh dirunding, dibeli atau diubah melalui ugutan kerana ia berasaskan prinsip keadilan, kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin.
“Kedaulatan Malaysia tidak boleh diperdagangkan. Maruah negara tidak boleh dibeli. Solidariti terhadap Palestin tidak akan digugat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
