KUANTAN – Universiti Teknologi MARA membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara petanque dan sepak takraw pada Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun (SUPANUN) 2026 yang berlangsung di Pantai Balok, Kuantan dari 19 hingga 23 Mei lalu.
Kejayaan itu diraih menerusi acara Petanque Trio Wanita, Petanque Double Wanita serta Sepak Takraw Veteran Lelaki dalam temasya dwitahunan berkenaan.
Karnival anjuran Persatuan Sukan Badan Berkanun dengan kerjasama Institut Sukan Negara dan Majlis Bandaraya Kuantan itu mempertandingkan enam acara sukan pantai iaitu bola sepak, bola jaring, sepak takraw, bola tampar, tarik tali dan petanque.
Kontinjen UiTM hadir dengan kekuatan 60 atlet dan pegawai bagi menghadapi cabaran kejohanan yang turut disertai 28 agensi badan berkanun seluruh negara.
Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Shah Alam, Bank Simpanan Nasional dan Majlis Sukan Negara.
Walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa, UiTM tetap mengambil pendekatan berhemah bagi memastikan penyertaan kontinjen berjalan lancar sepanjang kejohanan berlangsung.
UiTM dalam kenyataan memaklumkan pihak universiti sentiasa komited menyokong penglibatan atlet dalam bidang sukan bagi melahirkan warga kerja yang proaktif, sihat dan berdaya saing selain terus mengharumkan nama institusi di peringkat kebangsaan. – DETIK MALAYSIA