SHAH ALAM – Semua pemimpin parti politik di negara ini menghentikan budaya saling berbalas hujah dan serangan terbuka di media yang disifatkan semakin memenatkan rakyat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rakyat ketika ini mahu melihat fokus diberikan kepada usaha memajukan negara berbanding pertelingkahan politik yang berpanjangan.
Menurut beliau, rakyat tidak menolak perbezaan pandangan dalam politik, namun semakin jemu dengan pertikaman lidah, polemik berulang dan politik persepsi yang tidak memberi manfaat kepada kehidupan harian mereka.
“Rakyat mahu bergerak ke hadapan dan tidak terus terperangkap dalam konflik elit politik yang berpanjangan,” katanya menerusi surat terbuka kepada semua pemimpin parti politik hari ini.
Beliau berkata, rakyat kini lebih memikirkan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak, akses kesihatan dan masa depan ekonomi negara.
Sehubungan itu, katanya, tenaga politik sepatutnya ditumpukan kepada usaha mencari penyelesaian, bukannya pertengkaran terbuka yang hanya menjejaskan kestabilan negara.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa media tidak seharusnya dijadikan medan perang politik, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai ruang penerangan dasar, pendidikan rakyat dan perbincangan sihat.
“Apabila media dipenuhi konflik politik tanpa henti, yang rugi adalah rakyat dan kestabilan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap parti politik tanpa mengira ideologi mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengangkat martabat politik negara, menghormati ruang awam dan mengelakkan politik kebencian.
Katanya, Malaysia perlu bergerak ke arah politik yang lebih matang berasaskan dasar, perdebatan intelektual dan persaingan sihat demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“Pelaburan, keyakinan rakyat dan masa depan generasi muda bergantung kepada suasana politik yang matang dan terkawal,” katanya. – DETIK MALAYSIA