KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) tampil memberikan penjelasan mengenai insiden melibatkan pasukan Thailand pada perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand di Piala Dunia Sepaktakraw ISTAF Kuala Lumpur 2026, malam tadi.
Dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini, ISTAF memaklumkan insiden berlaku ketika peringkat kritikal perlawanan regu ketiga apabila pengadil perlawanan membuat keputusan mengesahkan kesalahan garisan tengah (centre line infringement) ke atas pemain Thailand selaras dengan Undang-Undang Permainan ISTAF.
Selepas keputusan tersebut, pasukan Thailand memohon semakan cabaran (challenge review). Bagaimanapun, pengadil memaklumkan bahawa kesalahan garisan tengah tidak termasuk dalam skop prosedur Sistem Semakan Cabaran (Challenge Review System) semasa.
Walaupun beberapa penjelasan dan nasihat diberikan oleh pegawai perlawanan, pasukan Thailand enggan meneruskan perlawanan dan tidak kembali ke gelanggang dalam tempoh yang ditetapkan mengikut peraturan pertandingan.
Sehubungan itu, selaras dengan Buku Panduan Teknikal ISTAF dan peraturan pertandingan, pengadil perlawanan mengisytiharkan perlawanan tersebut terbatal (forfeit) dan keputusan kemenangan diberikan kepada Malaysia.
“ISTAF ingin menegaskan bahawa semua pengadil diamanahkan untuk menjalankan tugas secara profesional, adil dan bebas mengikut Undang-Undang Permainan.
“Sekiranya mana-mana pasukan tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan ketika pertandingan, saluran yang betul adalah menerusi prosedur bantahan rasmi dan bukannya dengan menolak untuk meneruskan perlawanan,” kata kenyataan itu.
Menurut ISTAF, insiden tersebut turut melibatkan aspek disiplin pertandingan serta kelakuan pegawai dan pemain dalam aksi final antarabangsa berkenaan.
“Oleh kerana insiden itu melibatkan aspek disiplin pertandingan dan kelakuan pegawai serta pemain dalam perlawanan akhir peringkat antarabangsa, kes ini telah dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk tindakan lanjut.
“ISTAF kekal komited dalam melindungi integriti sukan, profesionalisme pengadilan dan semangat kesukanan di semua pertandingan yang dipertandingkan di bawah kelolaan ISTAF,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia – PSM