KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan mengesahkan masa depannya bersama skuad The Cats musim depan selepas menyerahkan sepenuhnya keputusan tersebut kepada pihak pengurusan kelab.
Pengendali dari Singapura itu berkata, sebarang pengumuman rasmi mengenai kedudukannya wajar dibuat oleh pihak kelab sebagai tanda hormat dan profesionalisme.
“Saya rasa lebih baik pihak kelab yang buat pengumuman rasmi.
“Saya perlu kekal profesional dan sudah tentu saya sayangkan Kuching City, namun biarlah pihak kelab umumkan sendiri. Itu pendekatan terbaik dan saya hormati kelab, jadi kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kuching City tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim pada aksi final Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, Kuching City memberi tentangan sengit kepada gergasi Selatan tanah air itu sebelum dua gol lewat menerusi Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi memastikan trofi menjadi milik JDT.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menenggelamkan pencapaian cemerlang The Cats yang berjaya mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama selain layak beraksi di pentas Asia musim depan.
Sepanjang di bawah kendalian Aidil, Kuching City berubah daripada pasukan bukan pilihan kepada antara pasukan paling tersusun dalam Liga Malaysia sehingga berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit bola sepak negara.
Mengulas cabaran musim depan, Aidil mengakui pasukannya perlu diperkasakan terutama dari aspek kedalaman skuad dan kualiti pemain baharu memandangkan mereka bakal bersaing dalam pelbagai kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC dan Kejuaraan Kelab ASEAN.
“Sudah tentu saya mahukan skuad yang lebih baik berbanding musim ini.
“Sebagai jurulatih, anda perlu beri keputusan kerana bola sepak adalah mengenai keputusan. Bila keputusan tidak baik, orang akan salahkan jurulatih dan itu perkara biasa,” jelasnya.
Aidil turut menjadikan Xabi Alonso sebagai contoh tekanan besar yang perlu dihadapi seseorang jurulatih di peringkat tertinggi.
“Xabi Alonso seorang jurulatih yang bagus tetapi beliau juga sukar di Real Madrid. Jadi kami perlu tingkatkan pasukan dan berbincang dengan pengurusan mengenai pemain yang diperlukan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Kuching City tidak mahu berbelanja melebihi kemampuan kewangan kelab semata-mata untuk mengejar kejayaan segera.
“Kami tidak mahu berbelanja di luar bajet kemudian gagal membayar gaji pemain seperti berlaku kepada beberapa kelab lain,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC