KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Munoz mendedahkan kata-kata penuh keyakinan daripada Arif Aiman Hanapi sebelum pemain sayap itu mencipta impak besar pada final Piala Malaysia 2025/26 menentang Kuching City FC malam tadi.
Menurut Xisco, Arif yang baru pulih daripada kecederaan hamstring selama enam bulan tampil dengan keyakinan tinggi sebelum dimasukkan ke padang pada babak kedua perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Berkenaan Arif, semuanya memang sudah dalam perancangan kami.
“Kami tahu dia boleh bermain pada tempoh tertentu dan dalam sesi latihan terakhir dia menunjukkan kualiti luar biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Xisco kemudian mendedahkan kata-kata Arif beberapa saat sebelum pemain berusia 24 tahun itu dimasukkan ke dalam permainan.
“Ketika Arif mahu masuk ke padang, dia cakap kepada saya, ‘Coach, rileks. Tiada masalah, saya boleh ubah situasi.’
“Dan dia benar-benar lakukannya,” kata Xisco sambil tersenyum.
Pada aksi final tersebut, Arif memastikan kemenangan 2-0 JDT selepas meledak gol cantik pada masa kecederaan menerusi rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
Terdahulu, Marcos Guilherme membuka jaringan buat Harimau Selatan pada minit ke-80 selepas Kuching City hampir berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT merangkul trofi Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut selepas muncul juara edisi 2022, 2023, 2024/25 dan kini 2025/26.
Bagi Arif, malam penuh gemilang itu membawa makna cukup besar selepas melalui tempoh pemulihan panjang akibat kecederaan sebelum kembali dengan jaringan, trofi dan janji yang berjaya ditunaikan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST