Pemain scrumhalf Terengganu, Mohamad Nasharuddin Ismail(memegang bola) di antara watak penting untuk Terengganu melakar rekod tanpa kalah setelah menafikan PDRM berkeputusan 26-25 di padang Pulapol, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026. Kredit Foto - Faiz Azizan.
Berstatus pasukan bukan pilihan pada musim ini, Terengganu berjaya menutup kempen peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 dengan rekod tanpa kalah sekali gus mengesahkan kemaraan ke saingan suku akhir yang dijadualkan bermula 13 Jun ini.
Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Terengganu yang beraksi di tempat lawan mencipta kemenangan dramatik pada hujung permainan selepas menewaskan juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan keputusan tipis 26-25 di padang PULAPOL, Kuala Lumpur.
Terdahulu, skuad kendalian Hafiizh Zainal ketinggalan 15-13 pada separuh masa pertama, memaksa barisan kejurulatihan melakukan perubahan taktikal dengan pertukaran beberapa pemain. Usaha itu membuahkan hasil apabila Terengganu mula memberi tekanan dan meraih tambahan tiga mata menerusi sepakan penalti pada minit ke-43 babak kedua.

Bagaimanapun, PDRM kembali mendahului permainan 20-16 lima minit kemudian selepas melakukan try, namun beberapa kesilapan pasukan tuan rumah membuka ruang buat Terengganu untuk bangkit dan kembali di depan 26-20.
Tersentak dengan keadaan itu, PDRM yang hadir selaku penyandang juara cuba merapatkan jurang dan berjaya menambah lima mata menerusi try pada minit ke-73, menjadikan kedudukan 26-25. Namun, Terengganu kekal tenang pada detik-detik akhir permainan untuk mempertahankan kelebihan satu mata dan menamatkan aksi dengan kemenangan.

“Secara realistik, ini bukan laluan mudah buat Terengganu berbanding musim lalu. Kita dapat lihat setiap perlawanan peringkat kumpulan berlangsung rapat, apatah lagi apabila menentang juara bertahan hari ini. Namun keputusan ini amat penting untuk kami mara ke suku akhir,” kata ketua jurulatih Terengganu, Hafiizh Zainal.
“Saingan suku akhir adalah episod baharu buat Terengganu. Kami perlu menunggu keseluruhan perlawanan peringkat kumpulan tamat sebelum membuat perancangan seterusnya. Kami hadir sebagai pasukan bukan pilihan musim ini, jadi sukar untuk meletakkan sasaran awal bagi kejuaraan kali ini,” tambahnya.
Dalam aksi lain minggu ketiga kejohanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menewaskan Kedah 27-24 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Sementara itu, perlawanan Johor menentang Negeri Sembilan di Stadium Pasir Gudang, Johor dijadual berlangsung pada Ahad jam 3.30 petang.