MUGELLO, Itali – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan podium pertama Malaysia dalam Kejuaraan Motosikal Dunia selepas menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Itali di tempat ketiga di Litar Mugello, hari ini.
Pelumba pasukan AEONCredit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan tunggangan berani dan matang sepanjang perlumbaan sebelum berjaya meraih kedudukan podium sulung kariernya dalam saingan Moto3.
Bermula di petak kedua hasil aksi cemerlang ketika sesi kelayakan semalam, Hakim tidak menunggu lama untuk mencuri tumpuan apabila terus memimpin perlumbaan sebaik lampu hijau dilepaskan.
Bagaimanapun, seperti kebiasaan perlumbaan Moto3 yang terkenal dengan aksi kelompok rapat dan perebutan posisi yang sengit, pelumba berusia 18 tahun itu beberapa kali bertukar kedudukan bersama kelompok pendahulu.
Meskipun diasak pelumba-pelumba terbaik dunia, Hakim kekal tenang dan bijak mengatur strategi untuk memastikan dirinya terus berada dalam kelompok pencabar podium.
Memasuki pusingan terakhir, pelumba kelahiran Terengganu itu melakukan serangan tepat pada masanya sebelum berjaya merampas kedudukan ketiga dan mempertahankannya hingga ke garisan penamat.
Hakim melintasi garisan penamat hanya 0.456 saat di belakang pemenang perlumbaan, pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang mencatat masa keseluruhan 33 minit 07.801 saat.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menghadiahkan podium pertama buat Hakim dalam Kejuaraan Dunia Moto3, malah menamatkan penantian hampir sembilan tahun Malaysia untuk menyaksikan pelumba negara berdiri di podium perlumbaan Grand Prix.
Kali terakhir pelumba Malaysia melakar pencapaian sedemikian adalah menerusi Hafizh Syahrin Abdullah yang menaiki podium kelas Moto2 pada Grand Prix San Marino 2017.
Keputusan di Mugello turut menghadiahkan 16 mata kejuaraan kepada Hakim sekali gus meningkatkan kutipan keseluruhannya kepada 43 mata selepas tujuh pusingan musim 2026.
Prestasi membanggakan itu turut mengesahkan perkembangan positif pelumba muda negara berkenaan yang semakin menyerlah dalam musim pertamanya di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.
Sehari sebelum perlumbaan, Hakim turut mencuri perhatian apabila berjaya melepasi sesi kelayakan pertama (Q1) sebelum mencatat masa kedua terpantas untuk mengesahkan tempat di barisan hadapan buat kali kedua musim ini.
Bagi peminat sukan permotoran tanah air, podium di Mugello ini menjadi petanda bahawa Malaysia kini memiliki prospek baharu yang mampu menggalas cabaran negara di pentas perlumbaan motosikal dunia pada masa depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing