KOTA BHARU – Kelantan TRW FC akan mengadakan satu sesi penerangan rasmi dalam masa terdekat bagi menjelaskan pelbagai isu yang sedang melanda pasukan itu, termasuk spekulasi mengenai kepimpinan serta hala tuju kelab pada masa depan.
Perkembangan tersebut hadir selepas The Real Warriors gagal memperoleh Lesen Kebangsaan daripada First Instance Body (FIB) di bawah Malaysian Football League (MFL), sekali gus tidak layak beraksi dalam saingan Liga Super musim 2026/2027.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam, pengurusan kelab mengakui terdapat pelbagai perbincangan dan spekulasi yang timbul dalam kalangan penyokong, khususnya berkaitan laporan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden Kelantan TRW FC.
Menurut pihak pengurusan, sesi tersebut akan menjadi platform rasmi untuk menjelaskan status pentadbiran semasa, hala tuju organisasi serta langkah-langkah yang sedang dirancang bagi memperkukuhkan kedudukan kelab.
“Penerangan ini penting bagi memastikan penyokong dan pihak berkepentingan menerima maklumat yang tepat terus daripada pihak pengurusan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan menunggu penjelasan rasmi yang akan diumumkan kelak.
Isu membabitkan kedudukan Annuar Musa turut menjadi perhatian ramai memandangkan beliau merupakan antara tokoh yang sinonim dengan pembangunan bola sepak Kelantan dan mempunyai pengaruh besar dalam landskap bola sepak negara.
Bagaimanapun, setakat ini pihak pengurusan belum mengesahkan sebarang perubahan kepimpinan, sebaliknya memaklumkan semua perkara berkaitan akan dijelaskan secara terperinci pada sesi penerangan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Kelantan TRW