KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru umat Islam di seluruh dunia agar terus mempertahankan prinsip keadilan, perpaduan dan maruah ummah sempena memperingati Tragedi Mina Shajarah Tayyibah 168 serta ulang tahun ke-37 pemergian Imam Khomeini hari ini.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tragedi yang meragut nyawa jemaah haji itu menjadi peringatan bahawa ibadah haji bukan sahaja mempunyai nilai kerohanian yang tinggi, malah menuntut tanggungjawab besar dalam memelihara perpaduan, keadilan dan keselamatan nyawa manusia.
Menurut beliau, pengorbanan para korban tragedi tersebut terus menjadi inspirasi kepada umat Islam untuk mempertahankan kebenaran dan menolak segala bentuk penindasan yang berlaku di seluruh dunia.
“Pada masa yang sama, legasi Imam Khomeini yang menekankan kebangkitan kesedaran Islam, kebebasan daripada dominasi kuasa luar serta penentangan terhadap kezaliman masih relevan sehingga hari ini.
“Dunia kini berdepan pelbagai krisis termasuk penderitaan rakyat Palestin, konflik bersenjata, jurang ekonomi yang semakin melebar serta kemerosotan nilai moral yang memerlukan pendekatan berasaskan keadilan dan keberanian moral,” katanya dalam satu deklarasi sempena majlis peringatan tersebut.

Deklarasi itu turut menegaskan tujuh prinsip utama antaranya mempertahankan kesucian nyawa manusia, memperkukuh perpaduan umat Islam merentasi perbezaan mazhab dan politik, menyokong perjuangan rakyat Palestin serta memperkasakan generasi muda dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman terhadap cabaran semasa.
Sementara itu, Pengerusi Alliance of World Mosques in Defence of Al Aqsa (MANAR), Syekh Ahmad Awang dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia (SHURA), Abdul Ghani Samsudin turut menyatakan sokongan terhadap deklarasi berkenaan yang menekankan usaha membela golongan tertindas serta membangunkan masyarakat dunia yang aman, bermaruah dan berteraskan nilai kemanusiaan sejagat. – DETIK MALAYSIA