KUALA LUMPUR – Institusi masjid perlu diperkasakan sebagai pusat penyatuan umat Islam di peringkat antarabangsa bagi menghadapi pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, masjid tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai pusat pembangunan insan, pendidikan, kebajikan, ekonomi serta diplomasi masyarakat.
Menurut beliau, terdapat ratusan ribu masjid di seluruh dunia yang menjadi tempat perhimpunan lebih dua bilion umat Islam, namun kebanyakannya masih beroperasi secara berasingan tanpa jaringan kerjasama global yang tersusun.
“Jika potensi masjid dari segi infrastruktur, kepimpinan masyarakat, dana wakaf, sukarelawan dan pengaruh sosial dapat digabungkan, ia mampu menjadi institusi global yang menyumbang kepada keamanan, pembangunan dan kesejahteraan manusia sejagat,” katanya dalam satu kenyataan sempena gagasan Pengantarabangsaan Masjid.
Beliau menjelaskan, antara objektif utama gagasan tersebut ialah memperkukuh kesatuan umat Islam merentasi bangsa dan negara, memperkasa fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah, memperluas dakwah global serta menjadi pusat advokasi kemanusiaan bagi membantu golongan tertindas dan mangsa konflik.
Katanya, umat Islam kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perpecahan ummah, konflik politik dan mazhab, kemiskinan, isu pelarian, kemerosotan budaya ilmu, keruntuhan moral serta peningkatan sentimen Islamofobia di banyak negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembentukan rangkaian Global Mosque Network (GMN) yang berfungsi menghubungkan masjid di seluruh dunia melalui platform digital bagi tujuan perkongsian program, latihan, pengumpulan dana dan misi kemanusiaan.
“Masjid perlu kembali memainkan peranan seperti yang diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah iaitu sebagai pusat pembangunan manusia dan pembinaan tamadun. Dalam dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu, masjid berpotensi menjadi jambatan penyatuan umat Islam global serta penyumbang utama kepada keamanan dunia,” katanya.
Beliau berharap tema “Masjid Global: Memperkasa Kesatuan Ummah, Membina Keamanan Sejagat” dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan peranan masjid agar lebih relevan dengan cabaran semasa dan keperluan masyarakat dunia. – DETIK MALAYSIA