PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjunjung setinggi-tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat agar menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, penghayatan Rukun Negara selari dengan tuntutan Islam yang menyeru kepada persaudaraan, saling menghormati, keadilan dan tanggungjawab memelihara keamanan dalam masyarakat majmuk.
Menurut beliau, titah Seri Paduka Baginda supaya semua pihak menjaga adab, tutur kata serta mengelakkan provokasi berkaitan isu sensitif amat bertepatan dengan nilai dakwah Islam yang menekankan hikmah, kebijaksanaan dan akhlak dalam setiap tindakan.
“Perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk merosakkan hubungan antara kaum, agama dan budaya yang menjadi kekuatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tragedi 13 Mei 1969 wajar dijadikan pengajaran bahawa keamanan dan perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana kestabilan negara menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, Yadim mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih, ucapan kebencian dan provokasi di media sosial dengan mengamalkan budaya tabayyun serta mengutamakan fakta berbanding sentimen.
“Yadim yakin aspirasi Malaysia Madani hanya dapat direalisasikan dalam suasana aman, stabil dan saling mempercayai. Dakwah berperanan menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman dan menyatukan masyarakat berbilang kaum serta agama,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menyahut titah Seri Paduka Baginda dengan memperkukuh semangat perpaduan nasional, menolak budaya kebencian dan politik perpecahan serta mengangkat budaya dialog demi masa depan negara yang lebih aman, makmur dan sejahtera. – DETIK MALAYSIA