SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengutuk sekeras-kerasnya amalan ugutan, paksaan dan intimidasi dalam hubungan antarabangsa yang didakwa terus diamalkan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara-negara berdaulat.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, laporan yang memetik Presiden AS, Donald Trump, mengancam Oman berhubung perkembangan di Selat Hormuz adalah sesuatu yang membimbangkan dan tidak boleh diterima.
Menurut beliau, sebarang kenyataan yang membayangkan tindakan ketenteraan terhadap sebuah negara berdaulat bertentangan dengan semangat diplomasi antarabangsa serta mampu mengancam keamanan dan kestabilan global.
“Oman selama ini dikenali sebagai negara yang memainkan peranan seimbang dan bertanggungjawab dalam urusan serantau.
“Negara itu banyak menyumbang kepada usaha pengantaraan, dialog dan penyelesaian konflik di Asia Barat. Mengancam sebuah negara yang konsisten mempromosikan keamanan dan rundingan menghantar mesej berbahaya kepada masyarakat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, tiada mana-mana negara, walau sebesar mana kekuatan ketenteraan atau pengaruh geopolitiknya, berhak mengugut negara lain untuk tunduk kepada kehendaknya.
Katanya, pertikaian antarabangsa perlu diselesaikan melalui dialog, saling menghormati, diplomasi serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
“Dunia tidak boleh kembali kepada era di mana kuasa besar menggunakan ancaman ketenteraan sebagai alat untuk memaksa negara lain menerima kehendak mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, ketegangan yang semakin meningkat di sekitar Selat Hormuz kini menimbulkan kebimbangan terhadap perdagangan global, keselamatan tenaga dan keamanan serantau.
“Retorik yang bersifat provokatif hanya akan meningkatkan ketidakstabilan serta memperbesar risiko berlakunya konfrontasi yang lebih luas,” katanya.
Sehubungan itu, Mapim menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan serantau dan masyarakat antarabangsa agar menolak politik ugutan dan intimidasi.
Menurut Mohd Azmi, prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB termasuk penghormatan terhadap kedaulatan negara, larangan campur tangan dalam urusan dalaman negara lain serta penyelesaian pertikaian secara aman mesti terus dipertahankan.
“Amerika Syarikat perlu menghentikan pendekatan berasaskan ancaman dan kembali kepada diplomasi yang bertanggungjawab.
“Keamanan yang berkekalan tidak akan lahir daripada paksaan atau tekanan ketenteraan. Sebaliknya, kestabilan dunia hanya dapat dibina melalui keadilan, saling menghormati dan kerjasama yang konstruktif antara negara-negara,” katanya.
Beliau menambah, dunia hari ini memerlukan lebih banyak dialog, kebijaksanaan dan komitmen terhadap keamanan sejagat.
“Mengugut bukan tanda kekuatan. Kekuatan sebenar ialah kemampuan menyelesaikan konflik melalui keadilan dan diplomasi,” katanya. – DETIK MALAYSIA