KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memandang serius trend kandungan media sosial yang menjadikan agama, tokoh serta para Nabi sebagai bahan jenaka atau hiburan semata-mata untuk meraih perhatian dan jumlah tontonan.
Yadim berkata, tindakan itu bukan sahaja mencetuskan keresahan masyarakat Islam, malah boleh menghakis rasa hormat terhadap perkara yang suci dan perlu dimuliakan.
Kenyataan itu susulan kontroversi melibatkan seorang pelawak yang didakwa mempersendakan Rasulullah SAW menerusi kenyataan bahawa “Baginda Nabi tidak lagi diingati pada 2026”.
Yadim menegaskan, permohonan maaf sahaja tidak memadai jika insiden seumpama itu tidak dijadikan pengajaran kepada semua pihak mengenai batas yang perlu dihormati dalam ruang digital.
“Dalam tempoh dua bulan lagi, umat Islam bakal menyambut Maulidur Rasul 1448 Hijrah. Justeru, Rasulullah SAW seharusnya diingati dan dimuliakan dalam bentuk yang positif, bukannya dijadikan bahan jenaka,” katanya.
Menurutnya, isu sebenar yang perlu diberi perhatian bukan sekadar kandungan yang tular, sebaliknya fenomena lebih besar iaitu krisis adab digital dalam kalangan masyarakat.
Katanya, apabila perkara yang suci dijadikan bahan hiburan, masyarakat berdepan risiko normalisasi penghinaan terhadap agama selain hilang keupayaan membezakan antara perkara yang boleh dipersenda dan perkara yang wajib dihormati.
Sehubungan itu, Yadim menyeru semua pihak memainkan peranan dalam membentuk ekosistem media sosial yang lebih bertanggungjawab selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan masyarakat.
“Pendekatan mendidik perlu diutamakan berbanding menghukum. Kesilapan yang berlaku wajar ditangani dengan hikmah, nasihat dan bimbingan agar menjadi titik perubahan yang lebih baik, khususnya kepada golongan muda yang aktif menggunakan media sosial,” katanya.
Tambah Yadim, pihaknya akan terus memperkukuh usaha dakwah yang dekat dengan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif termasuk program Layar Dakwah YADIM yang menampilkan hiburan patuh syariah untuk semua. – DETIK MALAYSIA