SUMATERA – Impian skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara untuk mara ke separuh akhir Kejohanan ASEAN B-19 2026 musnah selepas tewas tipis 2-3 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Utama Sumatera Utara, Indonesia.
Perlawanan yang dianggap penentuan hidup mati itu menyaksikan kedua-dua pasukan memburu kemenangan untuk mengesahkan status juara kumpulan dan tiket automatik ke separuh akhir.
Anak buah Nafuzi Zain memulakan aksi dengan cemerlang apabila membuka jaringan menerusi Amar Imran Uzaini Ashadi pada minit ke-13 untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Bagaimanapun, Thailand tidak menunggu lama untuk bangkit apabila kapten pasukan, Pichaiya Kongsri menyamakan kedudukan pada minit ke-21.
Momentum kemudian memihak kepada skuad Gajah Perang apabila Pirada Larsawat meledak gol kedua pada minit ke-42 bagi memberikan kelebihan 2-1 kepada Thailand.
Namun, Harimau Muda menunjukkan semangat juang tinggi apabila Arsyad Shamsul Aswadi menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama untuk memastikan kedudukan terikat 2-2 ketika rehat.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus mengasak dalam usaha mencari gol kemenangan yang mampu menentukan nasib masing-masing.
Detik malang buat Malaysia hadir pada minit ke-80 apabila Thailand dihadiahkan sepakan penalti selepas Ilhaam Azani Mohd Azamin didakwa menjatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti.
Pichaiya tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 3-2 sekali gus melengkapkan dua gol peribadinya dalam perlawanan itu.
Malaysia cuba bangkit pada penghujung permainan, namun pertahanan Thailand berjaya bertahan dengan baik sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kekalahan itu menyaksikan perjalanan Harimau Muda dalam kejohanan kali ini berakhir di peringkat kumpulan meskipun mempamerkan aksi bertenaga dan memberi tentangan sengit kepada antara pasukan terbaik rantau ini.
Sementara itu, Thailand mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B dan meneruskan misi memburu kejuaraan ASEAN B-19 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FA Thailand