KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli berazam untuk kembali lebih kuat selepas aksi mengecewakan pada Grand Prix (GP) Hungary, hujung minggu lalu.
Pelumba berusia 18 tahun yang mencipta sejarah meraih podium pertama dalam Kejuaraan Dunia Moto3 di GP Itali sebelum ini hadir ke Litar Balaton Park dengan keyakinan tinggi, namun berdepan cabaran besar untuk menyesuaikan diri dengan litar baharu tersebut.
Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Hakim bergelut sepanjang sesi latihan dan kelayakan sehingga gagal melayakkan diri ke Q2, sekali gus memulakan perlumbaan dari petak ke-19.
Walaupun kedudukan itu bukan yang diharapkan, pelumba kelahiran Terengganu tersebut tetap positif apabila mencatat peningkatan masa pusingan dari satu sesi ke satu sesi yang lain.
Bagaimanapun, hasratnya untuk memburu mata kejuaraan tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan seawal pusingan pertama di selekoh kelima selepas bertembung dengan pelumba CODE Motorsports, Ruche Moodley.
Insiden itu menyebabkan kedua-dua pelumba gagal menamatkan perlumbaan.
“Sudah tentu saya agak kecewa kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan pertama akibat insiden dengan pelumba lain yang melanggar saya dari belakang.
“Tetapi inilah perlumbaan. Kadang-kadang perkara yang tidak dijangka berlaku dan kami perlu menerimanya sebagai sebahagian daripada sukan ini,” katanya.
Menurut Hakim, perlumbaan sulung di Balaton Park memberikan pengalaman berharga yang boleh digunakan untuk meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.
“Secara keseluruhan, hujung minggu ini agak mencabar kerana ini kali pertama saya berlumba di litar ini.
“Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki dari segi tunggangan dan pemahaman terhadap litar.
“Saya akan jadikan pengalaman ini sebagai pengajaran yang sangat berharga untuk membantu saya berkembang sebagai pelumba dan tampil lebih baik selepas ini,” ujarnya.
Kini, fokus Hakim terarah kepada pusingan seterusnya di GP Republik Czech yang akan berlangsung di Automotodrom Brno pada 19 hingga 21 Jun ini.
“Saya dan pasukan akan terus bekerja keras selain meneruskan program latihan seperti biasa untuk membuat persiapan terbaik.
“Fokus saya kini adalah GP Republik Czech. Saya sangat teruja untuk kembali berlumba dan berharap dapat mencatat keputusan lebih baik pada pusingan seterusnya,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing