KUALA LUMPUR – Imigresen FC (IFC) secara rasmi mengumumkan pelantikan bekas jurulatih berpengalaman, Mehmed Durakovic sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Pelantikan Durakovic dilihat sebagai langkah strategik kelab dalam usaha memperkukuhkan daya saing pasukan serta meneruskan pembangunan yang telah dirintis sejak beberapa musim lalu.
Pengurusan IFC yakin pengalaman luas, kepakaran teknikal dan rekod cemerlang yang dimiliki pengendali berusia 61 tahun itu mampu membawa idea baharu serta menyuntik mentaliti kemenangan dalam kalangan pemain.
Kehadiran Durakovic turut mencerminkan kesungguhan kelab untuk terus mencabar pasukan-pasukan utama Liga Malaysia selain membina skuad yang lebih mantap menjelang musim baharu yang dijangka lebih kompetitif.
Menurut kenyataan kelab, kepimpinan beliau dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk pasukan yang berdaya tahan dan mampu bersaing secara konsisten sepanjang kempen musim depan.
“Pelantikan ini merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang kelab untuk mengukuhkan kedudukan dalam landskap bola sepak negara serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” menurut kenyataan tersebut.
Pada masa sama, IFC mengakui cabaran musim 2026/2027 bakal menjadi lebih sukar, namun percaya ia juga membuka ruang untuk pasukan mencipta pencapaian baharu.
Kelab itu turut menegaskan komitmen untuk terus bergerak ke hadapan dengan semangat, disiplin dan keazaman yang menjadi identiti utama mereka sejak penubuhannya.
Dalam perkembangan sama, IFC merakamkan penghargaan kepada bekas ketua jurulatih, Yusri Che Lah atas segala dedikasi, komitmen dan sumbangan yang dicurahkan sepanjang bersama pasukan.
Pihak pengurusan turut mendoakan kejayaan berterusan buat Yusri dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Perak FA