Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Muhammad Irfan (tiga dari kiri, atas) pada Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Insiden Gerik di Masjid Al-Mursyidin Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Lebih 3,000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta masyarakat setempat menyertai Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil khas bagi memperingati tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa penuntut universiti itu di Gerik, Perak, baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh hiba itu diadakan secara hibrid, melibatkan kehadiran fizikal di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini, serta siaran langsung secara dalam talian bagi membolehkan penyertaan warga universiti di pelbagai lokasi.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata majlis berkenaan bukan sahaja menjadi simbol solidariti dan kebersamaan warga universiti, malah ruang untuk mendoakan kesejahteraan roh mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
āWalaupun masa terus berlalu, kehilangan anak-anak UPSI ini tetap dirasai seluruh warga universiti. Kehadiran ribuan peserta pada malam ini mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga UPSI.
āKita berhimpun bukan sekadar untuk mengenang, tetapi untuk terus mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,ā katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini, semalam.

dan Tahlil Insiden Gerik di Masjid Al-Mursyidin Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Beliau berkata UPSI akan terus komited dalam memastikan kebajikan keluarga mangsa serta sokongan emosi dan psikologi kepada warga yang terkesan terus diberikan secara berterusan.
Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu dipimpin oleh Imam Masjid Al-Mursyidin yang juga merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat UPSI, Muhammad Irfan Mohd Amir, dengan suasana hiba menyelubungi para hadirin apabila sebahagian peserta, khususnya pelajar, tidak dapat menahan sebak sepanjang majlis
berlangsung.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr.Mohd Izwan Shahril serta barisan pengurusan universiti.
Terdahulu, pada awal pagi 9 Jun 2025, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjong Malim, Perak, terbalik selepas melanggar sebuah Perodua Alza. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI