KUALA TERENGGANU – Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) melakar sejarah apabila menjadi persatuan bola sepak daerah pertama di Terengganu menganjurkan kejohanan bertaraf A3 menerusi penganjuran ABERS Cup Kuala Terengganu League (KTL) 2026.
Kejohanan yang mendapat kerjasama Amatur Football League (AFL) itu akan membabitkan penyertaan 22 pasukan dari sekitar daerah Kuala Terengganu dan dijadual bermula pada 19 Jun ini di beberapa venue terpilih.
Presiden PBDKT, Mohamed Sekanther Abdul Hamed berkata, KTL 2026 dianjurkan dengan konsep lebih terbuka dan meriah bagi mengangkat pembangunan bola sepak akar umbi serta memberi peluang kepada pemain amatur menyerlahkan bakat masing-masing.
Menurutnya, penganjuran kejohanan selama dua bulan itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Terengganu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) serta pelbagai agensi lain.
“Penganjuran KTL 2026 bukan sekadar pertandingan, malah platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi menjadi pelapis bola sepak negeri pada masa hadapan.
“Tidak mustahil suatu hari nanti kejohanan seperti ini mampu melahirkan pemain berkualiti seperti Safawi Rasid, Ashaari Samsudin dan Rosdi Talib,” katanya pada Majlis Perasmian dan Pengumuman Penajaan ABERS Cup KTL 2026 di Hotel Permai di sini semalam.
Majlis tersebut disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Azran Amin Mazlan.
Mohamed Sekanther berkata, selain menyemarakkan pembangunan bola sepak tempatan, kejohanan itu turut berperanan mengeratkan hubungan silaturahim antara pasukan yang bertanding serta menyemai semangat kesukanan tinggi.
Beliau berkata, pihak penganjur turut merancang mengadakan kejohanan sampingan, KTL Kids Cup, sebelum berlangsungnya perlawanan akhir KTL 2026.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penaja utama, ABERS Resources Sdn. Bhd. serta rakan-rakan penaja lain yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penganjuran kejohanan tersebut.
“Komitmen semua pihak membuktikan pembangunan bola sepak akar umbi terus mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA