SANTA CLARA, California – Qatar mencipta sejarah tersendiri apabila meraih mata pertama mereka di pentas Piala Dunia selepas bangkit mengikat Switzerland 1-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium Levi’s, awal pagi tadi.
Pasukan juara Asia itu yang hampir tewas berjaya menyelamatkan satu mata berharga menerusi jaringan lewat pertahanan veteran, Boualem Khoukhi pada masa kecederaan selepas Switzerland terlebih dahulu mendahului hasil sepakan penalti Breel Embolo pada babak pertama.
Keputusan itu menyaksikan Qatar akhirnya memecah kebuntuan selepas gagal mengutip sebarang mata ketika membuat penampilan sulung pada edisi 2022 di laman sendiri.
Qatar hampir mengejutkan lawan seawal minit kedua apabila Edmilson Junior berjaya melepasi benteng pertahanan Switzerland hasil hantaran Akram Afif, namun kegagalannya membuat keputusan pantas menyebabkan peluang tersebut terlepas begitu sahaja.
Selepas itu, Switzerland mula menguasai permainan dengan mendominasi penguasaan bola serta mencipta beberapa peluang berbahaya yang memaksa penjaga gol Qatar, Mahmoud Abu Nada bekerja keras menyelamatkan gawangnya.
Tekanan berterusan skuad Eropah itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-17 apabila Abu Nada menjatuhkan Remo Freuler di dalam kawasan penalti.
Embolo yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk menewaskan Abu Nada sekali gus meletakkan Switzerland di hadapan dengan jaringan 1-0.
Switzerland terus mengancam menerusi Embolo dan Ruben Vargas, namun beberapa aksi cemerlang Abu Nada memastikan Qatar kekal dalam permainan.
Pada separuh masa kedua, Switzerland terus memburu gol kedua dengan kapten, Granit Xhaka hampir menambah jaringan menerusi rembatan jarak jauh yang berbahaya.
Embolo turut mensia-siakan peluang terbaik pada minit ke-76 ketika Qatar semakin bergelut mengekang asakan lawan.
Menyedari pasukannya memerlukan suntikan tenaga baharu, jurulatih Qatar, Julen Lopetegui melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Karim Boudiaf, Ahmed Alaaeldin dan Ahmed Fathi.
Ketahanan benteng Qatar akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
Khoukhi muncul wira pasukan apabila menanduk masuk gol penyamaan dramatik yang mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan pemain serta penyokong Qatar.
Selain Khoukhi, Abu Nada turut layak diberikan pujian apabila menjadi tonggak utama kebangkitan Qatar menerusi beberapa siri penyelamatan penting sepanjang perlawanan.
Keputusan tersebut memberi suntikan moral buat Qatar menjelang aksi kedua Kumpulan B menentang Kanada minggu depan dalam usaha memburu slot ke pusingan kalah mati. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – QFA