PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan rombakan besar dalam struktur pasukan kebangsaan apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Rob Friend dan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menamatkan kontrak mereka secara persetujuan bersama.
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan kontrak Rob Friend ditamatkan berkuat kuasa 1 Jun lalu, sekali gus menamatkan peranannya sebagai individu yang bertanggungjawab mengurus pembangunan dan hala tuju pasukan kebangsaan.
Turut meninggalkan skuad kebangsaan ialah Cklamovski bersama dua anggota kejurulatihan, Matthew Smith dan Seiya Imazaki yang menamatkan kontrak masing-masing secara persetujuan bersama bermula 16 Jun.
Perkembangan itu menyaksikan FAM kini perlu mencari ketua jurulatih baharu bagi mengemudi Harimau Malaya menjelang beberapa tugasan antarabangsa akan datang.
Dalam masa sama, jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Nafuzi Zain serta jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin turut menamatkan kontrak mereka secara persetujuan bersama berkuat kuasa 15 Jun.
Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula menyeluruh melibatkan pasukan kebangsaan di pelbagai peringkat umur.
“FAM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah diberikan oleh semua individu yang terlibat sepanjang tempoh perkhidmatan mereka bersama pasukan kebangsaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut FAM, proses mengenal pasti calon-calon baharu bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan sedang dijalankan bagi memastikan kesinambungan program pembangunan pasukan kebangsaan.
Pengumuman mengenai pelantikan baharu dan struktur terkini pasukan kebangsaan dijangka dibuat dalam masa terdekat ketika bola sepak negara memasuki fasa baharu. – DETIK MALAYSIA