SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berpandangan Israel merupakan antara faktor utama yang berpotensi menggagalkan usaha ke arah perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun terdapat pelbagai isu lain seperti program nuklear Iran, sekatan ekonomi dan ketidakpercayaan antara kedua-dua negara, pendirian Israel boleh menjejaskan keseluruhan proses damai yang sedang diusahakan.
Menurut beliau, kepentingan strategik Israel berbeza dengan AS yang lebih menumpukan kepada kestabilan serantau, keselamatan laluan perdagangan dan usaha mengawal program nuklear Iran menerusi rundingan.
“Bagi Israel, Iran dianggap sebagai saingan strategik utama yang mampu mengubah keseimbangan kuasa di Asia Barat.
“Sebarang perjanjian yang mengurangkan sekatan terhadap Iran dilihat mampu mengukuhkan ekonomi, ketenteraan dan pengaruh geopolitik negara itu, sekali gus dianggap ancaman kepada kedudukan Israel,” katanya dalam satu analisis hari ini.

Mohd Azmi berkata, sejarah turut menunjukkan Israel pernah mengambil tindakan ketenteraan secara unilateral ketika proses diplomatik sedang berlangsung sehingga meningkatkan ketegangan serantau.
Beliau turut menegaskan bahawa Israel secara konsisten menolak program pengayaan uranium Iran walaupun bagi tujuan aman dan di bawah pemantauan antarabangsa.
Dalam masa sama, katanya, naratif ancaman Iran telah lama digunakan bagi mengukuhkan kerjasama ketenteraan dan mendapatkan sokongan politik antarabangsa terhadap dasar keselamatan Israel.
“Jika hubungan AS dan Iran bertambah baik, naratif ancaman tersebut akan menjadi semakin lemah,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun perjanjian damai AS-Iran berpotensi mengurangkan risiko peperangan, ia tidak akan menyelesaikan isu asas yang menjadi punca ketidakstabilan di Asia Barat termasuk konflik Palestin.
Katanya, keamanan yang berkekalan memerlukan penyelesaian terhadap isu penjajahan Palestin, konflik di Gaza serta hak rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan.
“Keamanan sebenar tidak lahir daripada kekuatan senjata, tetapi daripada keadilan, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan kesungguhan politik untuk menamatkan penindasan,” katanya.
MAPIM menegaskan penyelesaian diplomatik perlu diutamakan berbanding peperangan dan semua pihak mesti menghormati kedaulatan negara tanpa campur tangan atau ancaman ketenteraan. – DETIK MALAYSIA